Siakap Keli
Gambar: Info Roadblock JPJ/POLIS

Kerap Ditegur Main Permainan Video Punca Remaja Cuba Terjun Jejambat

KUANTAN, 16 Mac (Bernama) — Sering ditegur kerana kerap bermain permainan video di telefon bimbit dikatakan menjadi punca seorang remaja perempuan cuba terjun dari jejambat di kilometer (KM) 46 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, Bentong, kira-kira 215km, dari sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata remaja berusia 16 tahun yang sedang menjalani rawatan bagi kemurungan itu juga difahamkan tidak berpuas hati dengan tindakan bapanya merampas telefon bimbit miliknya.

Polis, menurut Zaiham, menerima panggilan daripada orang awam yang melihat remaja itu meniti jejambat tersebut sekitar jam 2.15 petang dan pasukan polis yang dikejarkan ke situ melihat dia berada dalam keadaan tidak stabil.

“Polis cuba memujuk remaja itu untuk turun namun tidak dihiraukan, dan sebaik sahaja berpeluang, Ketua Balai Balai Bukit Tinggi Sarjan Mejar Maznan Omar menarik remaja tersebut dari belakang sebelum anggota lain membantu memegang mangsa bagi menyelamatkannya,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Zaiham berkata mangsa dibawa ke Hospital Bentong bagi rawatan lanjut.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right