Siakap Keli
Gambar: Bernama

K’jaan Disaran Wujudkan Gelembung Perjalanan Antara Daerah, Negeri PKPP

SANDAKAN, 18 Mac (Bernama) — Persatuan Pelancongan Sandakan mencadangkan kerajaan mewujudkan gelembung perjalanan di antara daerah dan negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi mempermudah perjalanan pengembara.

Presidennya Teo Chee Kim berkata industri pelancongan memerlukan gelembung perjalanan demi kelangsungan pemain industri yang terjejas akibat sekatan perjalanan sejak setahun lepas bagi mengekang penularan COVID-19.

“Gelembung perjalanan akan berperanan untuk memberi ‘kelegaan’  sementara kepada industri pelancongan, iaitu seumpama ‘tangki oksigen’, dan kami perlukan ‘tangki oksigen’ ini untuk mengharungi krisis yang dihadapi sekarang.

“Prosedur operasi standard (SOP) terkini yang hanya membenarkan perjalanan dalam zon sama di Sabah tidak banyak membantu pemain industri, terutama di pantai timur Sabah seperti Sandakan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurutnya Sandakan dianggap sebagai ‘bandar raya alam semula jadi’ Sabah yang memberi akses kepada biodiversiti dan lokasi alam semula jadi yang terkenal seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Gua Gomantong dan Taman Laut Pulau Penyu.

Pada 3 Mac lepas, kerajaan negeri membenarkan pergerakan rentas daerah berasaskan enam zon yang ditetapkan sepanjang PKPP, iaitu Zon 1 merangkumi Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar; Zon 2 (Beaufort, Kuala Penyu dan Sipitang); serta Zon 3 (Kudat, Kota Marudu dan Pitas).

Zon 4 pula meliputi Sandakan, Beluran, Kinabatangan dan Tongod; Zon 5 (Tawau, Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Kalabakan); dan Zon 6 (Keningau, Tambunan dan Tenom).

Sementara itu,  Presiden Persatuan Pengusaha Pelancongan Kinabatangan Corridor of Life (KiTA) Alexander Yee berkata pengusaha pelancongan perlu kreatif dalam pakej yang ditawarkan.

“Jika pengusaha dapat mengurangkan kos, mereka boleh menawarkan pakej untuk menarik pelancong tempatan yang lebih berkira tentang kos berbanding pelawat antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata di sebalik sekatan tertentu terhadap pemain industri pelancongan dan juga pengembara, sebarang langkah ke arah mempermudah kegiatan pelancongan adalah dialu-alukan selagi SOP untuk mengekang penularan COVID-19 dipatuhi.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.