Siakap Keli

Sebut Sahaja ‘Tokyo’ Terus Terbayang Kota Metropolitan, Rupanya Ada Keindahan Alam ‘Tersembunyi’

Bila sebut je Tokyo, pasti ramai terbayangkan suasana sibuk dan orang ramai yang berjalan laju untuk ke sana ke mari, mengejar masa untuk menyelesaikan urusan masing-masing. Bandar moden dan futuristik ini sinonim dengan ciptaan mereka yang serba canggih daripada sekecil-kecil gajet yang membantu permudahkan urusan harian hinggalah sebesar robot pintar yang pandai berkomunikasi.

Gaya hidup masyarakat Jepun yang pantas terzahir daripada cara hidup mereka; daripada cara berjalan sehinggalah jadual kereta api yang boleh dikatakan sentiasa menepati masa.

Namun tahukah anda, di sebalik kesibukan pusat bandar Tokyo yang mempunyai lebih 13 juta penduduk itu, terselit beberapa lokasi menyimpan khazanah alam yang cukup indah? Selangkah ke sana, bagai terlupa segala kekalutan di bandar metropolis ini. Nak tahu di mana tempatnya? Jom sama-sama kita mengembarai keindahan alam di pelosok bandar Tokyo.

1. Hotel Chinzanso Tokyo

Dengar je hotel, mungkin ada yang fikir, “mesti bayarannya mahal dan hanya untuk pelanggan sahaja”. Sabar dulu, kalau anda makan di restaurant atau membeli belah di sini juga boleh menikmati keindahan taman Jepun yang paling cantik ini, tidak semestinya perlu menginap di Hotel ini.

Taman indah di Hotel Chinzanso Tokyo ini selalu menjadi tumpuan pasangan pengantin dan graduan yang ingin mengambil gambar kenangan sambil memakai kimono masing-masing. Nak tahu kenapa? Semestinya sebab kecantikan pemandangan di sekitar taman tersebut itu sendiri.

Biarpun ia boleh dilawati setiap musim, waktu yang paling cantik untuk diterokai ialah ketika musim bunga sakura atau musim luruh. Waktu itu, anda boleh saksikan kecantikan bunga sakura dan kamelia yang mekar seakan-akan dalam cerita fantasi.

Bukan itu saja, anda juga boleh menghayati keindahan air terjun yang cukup menenangkan di Air Terjun Gojo. Dengan kehijauan tumbuhan, udara segar dan bunyi deruan air yang melatari panorama indah, pasti anda akan terlupa sebenarnya anda berada di tengah bandar yang sibuk. Lokasi yang tepat untuk anda menenangkan diri sambil mencipta memori.

Stesen terdekat dengan Hotel Chinzanso Tokyo ini adalah stesen Edogawabashi di Yurakucho Line dan stesen Waseda di Tokyo Sakura Tram (Toden Arakawa Line).

Bermula daripada hujung hotel, anda boleh berjalan-jalan di sepanjang tebing Kanda River dan masuk melalui pintu bawah sambil menyaksikan bunga sakura yang subur pada musimnya.

2. Todoroki Valley

Siapa sangka, di tengah bandar yang sesak, tersembunyi keindahan alam seakan nun jauh di dalam hutan. Bagi pencinta kehijauan, Todoroki Valley adalah lokasi yang wajib anda kunjungi suatu hari nanti jika berpeluang ke Tokyo.

Bagai masuk ke dunia lain, segala bunyi bingit kenderaan atau hiruk pikuk kota berubah sebaik sahaja anda melangkah ke lokasi ini. Hanya bunyi air sungai dan ciapan burung sahaja yang akan menemani anda dalam taman ini.

Dengan suhu yang agak dingin berbanding di luar, anda akan mendapati lokasi ini cukup mendamaikan. Sambil berjalan di tepi sungai, anda juga boleh berehat di atas kerusi disediakan untuk mengambil gambar, membaca buku mahupun sekadar memerhati air sungai yang mengalir.

Jika sudah penat berjalan, jangan lupa singgah ‘mengeteh’ di kafe Setsugetsuka. Anda juga boleh merasa manisan Jepun sebelum teruskan perjalanan ke lokasi seterusnya.

Jika anda ingin ke sini, anda boleh sahaja berjalan kaki daripada Stesen Todoroki di Tokyu Oimachi Line. Stesen tersebut terletak kira-kira 20 minit perjalanan menaiki kereta api dari Shibuya.

Setibanya di stesen tersebut, ambil susur keluar arah selatan dan jalan sehingga tiba di pasaraya Seijo Ishii. Dari sana, belok kanan dan anda akan menemui Golf-bashi Bridge yang merupakan pintu masuk ke Todoroki Valley.

3. Kasai Rinkai Park

Selain air terjun, anda juga boleh melawati sebuah taman terbuka ditemani bunyi ombak dan langit yang terbentang luas di Kasai Rinkai Park.

Terletak di Tokyo Bay, taman ini dibina untuk memelihara persekitaran Tokyo Bay dengan keluasan 770,000 meter persegi.

©Makoto Honda / 123rf.com

Ia sering menjadi tarikan keluarga dan pasangan terutamanya bagi mereka yang ingin menyaksikan pelbagai jenis burung dan hidupan laut di akuarium gergasi.

Dalam kubah kaca yang besar itu, anda boleh menyaksikan pelbagai jenis hidupan marin seperti ikan dan penguin, jika beruntung, anda dapat melihat sendiri petugas memberi makanan kepada hidupan tersebut.

©picture cells / Shutterstock.com

Puas berjalan di dalam kubah akuarium, anda boleh menikmati pemandangan seluas mata memandang di Tokyo Bay dari atas roda Ferris kedua tertinggi di Jepun.

Jika cuaca baik dan terang, anda boleh melihat gunung Fuji ketika berada di bahagian atas roda ferris yang dikenali sebagai Diamond and Flowers itu.

© KAZUHIRO SUZUKI / 123rf.com

Bagaimana nak ke sini?

Daripada Stesen Tokyo, ambil tren di Keiyo Subway Line menuju ke Kasai Rinkai Koen yang akan berhenti betul-betul di pintu masuk taman ini. Kasai Rinkai Park ini juga merupakan salah satu hentian bagi Tokyo Water Bus yang bergerak antara Asakusa, Odaiba dan beberapa hentian lain.

Cantik-cantik kan lokasi ‘tersembunyi’ ini? Siapa sangka, di tengah bandar metropolitan canggih itu terselit keindahan alam seperti jauh meneroka di dalam hutan. Tak perlu bersusah payah ke bandar lain, di sini juga anda boleh mencari lokasi menenangkan diri dan menghayati keindahan alam yang cukup mententeramkan.

Mesti ada yang teringin nak ke sana kan? Habis sahaja pandemik dan sekatan ke luar negara ditamatkan, bolehlah masing-masing mengatur perjalanan ke sana mengikut norma baharu.

Usah risau, sebagai bandar yang maju dan terkehadapan, Tokyo kini sedang giat menambah baik sistem dan fasiliti di sana bagi menerima pelancong dari luar negara selepas pandemik ini.

Jika anda ingin melancong ke sana, rujuk panduan khusus koronavirus ini bagi melindungi diri anda dan keluarga atau layari laman Go Tokyo ini.