Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Serangga Besar Masuk Dalam Telinga, Ini Cara Buang Yang Wajib Anda Tahu

Salah satu perkara yang dirisaukan oleh setiap orang apabila tiba waktu tidur adalah mengenai bahagian telinga kerana ia mudah terdedah kepada sebarang serangga.

Keadaan ini juga boleh membuatkan seseorang trauma dan berusaha untuk sentiasa menutup telinga ketika tidur.

Tak mampu digambarkan rasa sakit bila serangga tersebut ‘menetap’ di dalam telinga.

Ikuti perkongsian oleh Hello Doktor di bawah ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan cara untuk membuangnya daripada telinga.

Jangan terkejut jika kami kata situasi serangga masuk telinga adalah biasa berlaku dan ini termasuklah yang besar seperti lipas dan kumbang!

Apabila ia terjadi, sudah pasti akan timbul persoalan tentang bagaimana cara untuk membuangnya daripada telinga?

Tenang, setiap permasalahan mesti ada jalan penyelesaian. Jom sama-sama kita ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi.

Serangga masuk telinga bukan dongeng semata!

Meskipun ia bukanlah satu perkara yang normal, ketahuilah serangga yang kecil seperti semut, nyamuk, kumbang memang boleh memasuki lubang telinga.

Lebih membimbangkan, serangga yang besar seperti lipas juga pernah dilaporkan memasuki lubang telinga individu yang tidak sedar langsung mengenainya.

Kebiasaannya, situasi ini akan berlaku tatkala seseorang itu sedang tidur lantas membuat mereka tidak mampu untuk melakukan apa-apa.

Akibatnya, serangga tersebut mungkin akan tersekat dan terbiar di dalamnya sehingga menyebabkan ketidakselesaan pada telinga mangsa.

Bagaimana untuk tahu ia telah berlaku?

Untuk pengetahuan anda, serangga masuk telinga boleh menyebabkan kerengsaan dan keradangan pada gegendang telinga anda.

Bukan itu sahaja, ia juga mungkin boleh menjejaskan pendengaran lantas menyebabkan anda sukar untuk mendengar atau pekak.

Ia sangat berbahaya kerana kadangkala kita sendiri tidak sedar akan kemasukan bendasing seperti serangga di dalam rongga telinga.

Bagi mengetahui kewujudannya di dalam telinga, akan muncul beberapa petanda termasuklah:

  • Kedengaran seakan bunyi berdesing
  • Kesakitan pada dalam telinga
  • Kebengkakan pada dalam telinga
  • Keluar darah atau nanah dari dalam telinga
  • Pendengaran menjadi terjejas
  • Pekak

Disebabkan itu, usaha untuk membuangnya daripada telinga harus cepat dilakukan. Bagaimana?

Bagaimana untuk membuangnya daripada telinga?

Setelah mengetahui bahawa lubang telinga anda sudah menjadi ‘tempat tinggal’ serangga, adalah penting untuk kalian tidak panik.

Ini kerana kesilapan teknik untuk membuangnya daripada dalam telinga hanya akan membuat keadaan sedia ada menjadi lebih teruk.

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk membuang serangga tersebut:

#1. Tentukan di mana kedudukan serangga tersebut (sama ada lubang telinga kiri atau kanan).

#2. Condongkan kepala anda ke bawah pada sebelah telinga yang terbabit.

#3. Goncangkan kepala anda secara perlahan untuk cuba mengeluarkannya.

#4. Titiskan sedikit minyak organik seperti sayuran bagi cuba melicinkannya.

#5. Masukkan sedikit air suam agar lubang telinga terbabit menjadi lebih licin.

#6. Jika masih tidak berhasil, segera berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Peringatan penting buat anda

Namun, ada beberapa perkara penting yang kalian perlu tahu dalam usaha untuk membuang serangga yang termasuk ke dalam telinga.

Pertama sekali, elakkan menjolok telingga menggunakan jari, lidi, jarum, kunci, putik kapas atau sebarang objek lain ke dalam telinga.

Ini hanya akan meningkatkan risiko serangga terbabit termasuk dengan lebih dalam lantas merosakkan gegendang telinga anda.

Selain itu, anda juga tidak disarankan untuk mengetuk sebelah telinga lain kononnya untuk lebih mudah mengeluarkan serangga tersebut.

Ketahuilah bahawa perbuatan ini juga cuma akan menjejaskan sistem pendengaran terutamanya sebelah telinga yang diketuk itu.

Perlu segera jumpa doktor

Apabila usaha untuk mengeluarkan serangga dalam telinga tidak berhasil, kalian perlulah segera berjumpa dengan doktor.

Ini terutamanya jika anda perasan bahawa serangga tersebut masih lagi hidup dan sedang menetap di dalam rongga telinga.

Bukan sahaja ia akan menyebabkan ketidakselesaan pada dalam telinga malahan juga mampu menjejaskan sistem dan deria pendengaran anda.

Selain mengalami luka akibat gigitan atau sengatan serangga ini, kerosakan kekal pada gegendang telinga boleh membawa kepada kondisi pekak.

Jadi, sesuatu perlu dibuat segera untuk membuang atau mengelak sejak awal daripada serangga memasuki rongga telinga.

Bagaimana untuk elak serangga masuk telinga?

Mungkin adalah agak mustahil untuk menjamin kepastian serangga tidak boleh memasuki rongga telinga kita semua.

Ini kerana lubang telinga tidak mempunyai mekanisme lain selain bulu halus untuk menghalang kemasukan bendasing.

Selain itu, ia juga lebih berisiko untuk masuk ke dalam telinga di waktu kita tidak sedar seperti sedang lena tidur pada waktu malam.

Pun begitu, risikonya mungkin boleh dikurangkan sedikit dengan cara seperti berikut:

  • Menggunakan earplug ketika sedang tidur pada waktu malam
  • Menggunakan earplug telinga apabila sedang berkhemah di luar rumah
  • Memastikan kebersihan rumah terjaga untuk elak pembiakan serangga

Malang itu tidak berbau dan situasi ini masih boleh terjadi meskipun pelbagai langkah berwaspada sudahpun diambil.

Oleh itu, anda mungkin boleh cuba cara membuang serangga masuk telinga seperti yang telah kami nyatakan di atas tadi.

Jika masih tidak berhasil, sila segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut ya?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber: Hello Doktor

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.