Siakap Keli

(Video) Ada Corak Seakan Bentuk ‘Emoji’ Smiley, Ular Sawa Unik Ini Dijual RM24,000 Seekor

Seorang penternak ular di Georgia mencuri perhatian ramai apabila dia menjual seekor ular sawa ‘unik’ dengan harga mencecah kira-kira RM24,000.

Namun apa yang menjadi keunikan reptilia tersebut di sebalik harganya yang tinggi adalah ia mempunyai corak bola berbentuk seakan ’emoji’ Smiley di badannya.

Bagi ular unik ini, penternak berkenaan, Justin Kobylka menamakannya sebagai ‘A lavender albino piebald ball python‘, atau lebih ringkas, ular sawa bola ‘dreamsicle‘ merujuk kepada kombinasi bulatan kuning keemasan pada tubuhnya yang berwarna putih.

“Biasanya penternak pasti akan ternampak wajah-wajah senyuman (seakan emoji Smiley) pada badannya, dan ia berlaku secara rawak.

“Apa pun yang terjadi, ianya adalah sesuatu yang sangat istimewa. Tapi dikatakan hanya ada satu daripada tiga spesies ular sawa bola yang mengalami ciri-ciri unik secara semulajadi seperti ini,” katanya, memetik laporan Fox 5 New York.

Gambar: Fox 5 New York

Emoji Smiley disebabkan mutasi

Selain itu, Kobylka menjelaskan bahawa punca kejadian corak berkenaan adalah disebabkan faktor genetik.

“Berlaku proses mutasi tertentu ketika ia membesar, di mana kawasan putih (pada badan) cenderung untuk bertukar warna sehingga perlahan-lahan terjadinya corak pada bulatan kuning keemasan yang membentuk wajah seakan senyum,” katanya.

Mengimbas kembali, Kobylka sudah menternak pelbagai jenis ular di kedainya, J. Kobylka Reptiles di bandar ini sejak dua dekad dahulu.

Namun dia menyedari kewujudan satu corak emoji ketika ular itu dijumpai pada 2016 lalu, sebelum terlihat dua lagi bentuk emoji Smiley tidak lama kemudian.

“Saya fikir, wow ini sangat ‘cool’. Kami tidak pernah melihatnya lagi. Jadi pada masa itu terus saya keluarkan kamera dan merakam gambarnya.

“Saya fikir ini sesuatu yang menarik jika dikongsikan. Video yang saya rakamkan itu tular dan baru saya perasan, rupa-rupanya ada tiga emoji Smiley keseluruhannya,” tambahnya lagi.

Pada awalnya, dia mahu menjualnya dengan harga RM12,000 sahaja seekor, namun memandangkan terdapat tiga corak emoji Smiley yang unik, maka harga dinaikkan sekali ganda menjadi RM24,000.

Menurutnya, ular sawa bola (ball python) merupakan spesies ular sawa yang berasal dari Afrika Barat. Ia juga adalah spesies yang sering dipelihara sebagai haiwan kesayangan.

Bentuk fizikal bagi ular sawa bola dewasa boleh mencapai kira-kira lima kaki panjang dan beratnya boleh mencecah 10 ke 15 paun.

Sumber: Fox 5 New York / Youtube

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'