Siakap Keli
Gambar: Bomba KL Via Bernama

(Video) Kebakaran Pasar Dato Keramat: Mangsa Cuma Mampu Lihat Premis Dijilat Api

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) — “Saya hanya mampu terduduk melihat premis saya dijilat api,” kata Abdul Rahman Ismail, salah seorang daripada kira-kira 40 peniaga yang terjejas, apabila deretan kedai di Pasar Dato Keramat, di sini, terbakar petang tadi.

Abdul Rahman, 32, yang berniaga minuman berkata, beliau telah berniaga di pasar berkenaan sejak lima tahun lalu dan kebakaran itu merupakan yang paling besar pernah dialaminya, sepanjang berniaga di situ.

“Sebelum ini, Pasar Dato Keramat pernah terbakar namun tidak besar seperti hari ini, kebakaran bermula daripada belakang kedai saya.

“Saya nampak api, saya terus berteriak kepada orang ramai untuk menyelamatkan diri serta barang-barang mereka dan keadaan begitu huru-hara, api merebak dengan terlalu pantas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini.

Abdul Rahman berkata beliau tidak sempat menyelamatkan barangannya dan semasa kejadian, kira-kira 10 peniaga lain berada di premis masing-masing.

Pengerusi Persatuan Penjaja Pasar Dato Keramat Mohamed Tarmizi Mohamed Akil pula berkata, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi salah seorang peniaga.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keramat Mohd  Fahmi Abd Rahim berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.26 petang tadi, daripada orang awam.

“Ekoran itu, sebanyak lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Wangsa Maju dan BBP Setapak, ke tempat kejadian dengan kekuatan seramai 58 keanggotaan,” katanya.

Mohd Fahmi berkata, api dapat dikawal daripada terus merebak pada pulul 6.25 petang sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya. Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right