Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Perbicaraan Ahmad Zahid: Pendakwaan Tutup Kes Selepas Panggil 99 Saksi

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Pihak pendakwaan dalam perbicaraan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi, hari ini menutup kes mereka selepas memanggil 99 orang saksi dalam tempoh 53 hari perbicaraan.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke-99, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Khairudin Kilau, 44, selesai memberi keterangan.

Sequerah memerintahkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan bertulis sebelum atau pada 28 Mei ini dan memfailkan jawapan balas pada  11 Jun.

Hakim juga menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 dan 2 Julai untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan sebelum mahkamah memutuskan sama ada membebaskan Ahmad Zahid,  daripada 47 pertuduhan itu atau memerintahkannya membela diri.

Ahmad Zahid, 68,  sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 21 Feb 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ahmad Zahid untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran kad kredit peribadinya, polisi insurans serta lesen untuk kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Affin Bank Jalan Bunus off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016. Pertuduhan dibuat menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zahid turut menghadapi lapan pertuduhan rasuah, yang mana dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuknya atas kapasiti beliau selaku Menteri Dalam Negeri, membantu masing-masing memperoleh projek MyEG, membekalkan cip pasport dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa warga asing di Pakistan serta Nepal.

Beliau didakwa melakukan kesalahan-kesalahan terbabit di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018, menurut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Ahli Parlimen Bagan itu turut berdepan 27 dakwaan pengubahan wang haram dengan terlibat dalam transaksi langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, No. 1 Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15,  Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, dekat sini, antara  29 Mac  2016 dan 11 April 2018.

Ahmad Zahid juga menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara di Mahkamah Sesyen Shah Alam, menjadikan keseluruhan 87 pertuduhan terhadap beliau.

Perbicaraan bagi kes di mahkamah  Shah Alam ditetapkan selama 16 hari bermula 24 Mei ini.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'