Siakap Keli
Gambar: Tribun

Hanya Minum Air Laut, Pemuda Dilapor Ditemui Lemah Setelah 15 Hari Hanyut Di Laut

Seorang lelaki di Indonesia terpaksa teruskan hidup dengan meminum air laut ketika terumbang-ambing di laut selama 15 hari selepas kapal yang dinaikinya mengalami kemalangan.

Lelaki berkenaan, Muhammad Kartoyo, 18, yang juga seorang kru pada awalnya menaiki kapal dari Muara Baru Jakarta beberapa bulan dahulu dan dijangka pulang pada Mac ini.

Bagaimanapun berlaku satu tragedi apabila kapal tersebut dilapor berlanggaran dengan kapal lain sehingga strukturnya pecah dan kru-kru terhumban ke laut, lapor Tribun News.

Kakaknya, Erika Puteri mendakwa, sudah lama dia tidak mendengar khabar berita adiknya namun segalanya diketahui apabila tragedi itu tular di Facebook.

Difahamkan, hanya dua mangsa yang berjaya ditemui setakat ini manakala lima mangsa selebihnya dipercayai masih dicari. Ada juga yang dilapor telah meninggal dunia.

Malah jelas Erika, ketika tubuh adiknya ditemui, badannya didapati sangat lemah dan berwarna gelap kehitaman.

“Selain kelihatan sangat kusut dan lemah kerana tidak makan apa-apa kecuali minum air laut, tubuhnya (adik) gelap seperti terbakar akibat terdedah cahaya matahari yang lama.

“Adik saya mampu bertahan selama 15 hari di laut kerana dia berpaut pada sebuah papan serpihan kapal yang telah pecah.

“Kami dari pihak keluarga berasa sangat bersyukur kerana adik saya ditemui selamat. Juga turut bersimpati atas mangsa lain yang masih belum dijumpai,” katanya, memetik laporan Tribun.

Kartoyo kini berada di bawah jagaan pihak perubatan. Difahamkan keadaannya sudah sedikit stabil, malah sudah mampu berkomunikasi dengan ahli keluargnya menerusi panggilan video.

Sumber: Tribun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'