Siakap Keli
Gambar: Oddity Central

Rasa ‘Ditikam’ Ketika Sejuk, Lelaki Terkejut ‘Pisau’ Tertanam Dalam Dada, Dakwa Pernah Jadi Mangsa Tikam Setahun Lepas

Seorang lelaki Filipina yang selalu mengadu sakit dada ketika cuaca sejuk, mendapati bahawa terdapat sebilah pisau panjang yang berukuran empat inci berada di dalam dadanya selepas menjalani imbasan sinar-X, lapor Oddity Central.

Lelaki yang berusia 25 tahun itu berasa pelik semasa doktor memberitahunya bahawa terdapat ‘objek yang menyerupai pisau’ yang berada sangat dekat dengan salah satu paru-parunya berada di dalam dadanya.

Pada ketika itu, dia telah melakukan sinar-X kerana permohonan kerja di sektor perlombongan di Agusan del Sur yang dimohonnya itu memerlukannya untuk melakukan imbasan sinar-X. Dia tidak menjangka pula bahawa ada sesuatu yang tidak kena semasa dia melakukan imbasan sinar-X.

Dia memberitahu kepada doktor di Kota Kidapawan bahawa dia kadang-kadang mengalami sakit akibat tikaman di dadanya ketika cuaca menjadi sejuk, namun tidak terlalu memikirkannya. Dia tidak langsung menyangka bahawa ada pisau di dalam dadanya.

“Saya selalu tertanya-tanya mengapa saya berasa sakit di bahagian dada saya ketika cuaca sejuk. Namun saya tidak menyangka pula bahawa terdapat pisau di dalam dada saya,” kata lelaki itu kepada sebuah stesen radio tempatan.

Ketika ditanya berkenaan bagaimana pisau tersebut boleh berada di dalam dadanya, lelaki itu memberitahu doktor bahawa dia pernah menjadi mangsa tikaman lebih dari setahun yang lalu.

Dia didakwa telah diserang dan ditikam oleh sekumpulan pemuda ketika dia sedang menunggang motosikalnya pada suatu hari di bulan Jun yang lalu.

Dia tidak ingat sangat akan kejadian yang menimpanya itu, dan hanya mengingati bahawa dia hampir tidak bernyawa ketika dia dibawa ke hospital, di mana doktor telah berjaya menyelamatkan nyawanya.

Lelaki tersebut beranggapan bahawa doktor yang merawatnya itu telah melakukan semua prosedur sebelum membenarkannya pulang, dan dia tidak langsung menyangka bahawa mereka akan tertinggal pisau tersebut di dalam dadanya.

Walaupun penemuan pisau itu agak mengejutkannya, lelaki yang berusia 25 tahun itu menyatakan bahawa dia tidak terfikir pun untuk menyaman doktor yang merawatnya semasa dia ditikam pada tahun lalu, bahkan, dia juga enggan mendedahkan nama mereka, kerana dia tidak mahukan sebarang masalah. Yang penting untuknya kini adalah dia perlu mengeluarkan pisau tersebut agar dia dapat diterima bekerja.

Sumber: Oddity Central

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.