Mungkin bagi sesetengah orang isu hartanah yang terbiar ini tidak mendatangkan masalah melainkan ada berlakunya isu perebutan pusaka. Tidak dinafikan isu perebutan ini akan menimbulkan masalah bila ada sikap ‘tidak apa. dan tidak peduli apabila berlaku kematian.
Tambah-tambah lagi kalau kita hanya waris jauh yang ingin membaiki harta peninggalan seperti rumah pusaka pasti akan ada yang tidak senang duduk. Mulalah timbul masalah tuntutan.
Jadi, bagi mengelakan perkara ini berlaku, SK ingin kongsikan pendapat dan pandangan daripada peguam hartanah, Salkuhairi Abd Sukor tentang isu ini.
DAH KELUAR MODAL BAIKI RUMAH PUSAKA, TIBA-TIBA WARIS NAK TUNTUT BALIK RUMAH TERSEBUT

Semalam saya post tentang kisah seorang lelaki yang telah keluarkan modal puluhan ribu ringgit untuk baiki rumah pusaka peninggalan datuk beliau.
Permulaannya tidak timbul masalah. Bahkan semua waris bersetuju secara lisan dan membenarkan beliau untuk baiki dan tinggal di rumah tersebut.
Tetapi setelah lihat rumah itu semakin cantik, maka mulalah ada dikalangan waris yang menuntut hak mereka.
1. Perlu dapatkan persetujuan bertulis
Dalam kes di atas, sepatutnya sebelum beliau membuat sebarang renovasi terhadap rumah tersebut dan bercadang untuk tinggal di rumah tersebut, beliau perlulah mendapatkan persetujuan bertulis daripada semua waris.
Perlu ada satu perjanjian hitam putih yang sah antara beliau dengan semua waris yang menyatakan waris-waris membenarkan beliau baiki dan tinggal di rumah tersebut.
Pun begitu perlu diingatkan, walau apapun kebenaran yang telah diberikan, dari segi perundangan, memandangkan nama semua waris-waris masih lagi ada di dalam geran dan didaftarkan sebagai pemilik berdaftar tanah tersebut, maka mereka tetap mempunyai hak terhadap pemilikan tanah dan rumah yang ada di atas tanah tersebut.
2. Perlu berunding dengan waris-waris untuk memindah milikkan tanah
Perjanjian dan kebenaran yang diberikan tidak akan menjadikan waris-waris tadi hilang hak mereka sepenuhnya sebagai pemilik terhadap tanah dan rumah tersebut.
Sebab itu saya lebih suka sekiranya beliau benar-benar mahukan rumah tersebut, beliau perlu berunding dengan waris-waris untuk memindah milikkan tanah tersebut kepada beliau sama ada melalui balasan kasih sayang atau secara jual beli.
Dengan cara sedemikian, hak dan kepentingan beliau akan dilindungi oleh undang-undang sepenuhnya. Saya fikir itu cara yang lebih selamat.
Adapun tentang isu apakah tindakan yang boleh diambil oleh beliau, dalam keadaan tiadanya dokumen hitam putih secara bertulis sebegitu, agak sukar mungkin untuk beliau pertahankan hak beliau dari segi perundangan sekiranya beliau ingin mengambil tindakan undang-undang di mahkamah.
3. Kemukakan saksi yang boleh dipercayai
Pun begitu, sekiranya beliau dapat mengemukakan saksi yang boleh dipercayai untuk menyokong tuntutan beliau, mahkamah mungkin boleh membenarkan tuntutan beliau itu.
Pun begitu sebagaimana yang saya nyatakan tadi ia tidak akan menafikan hak waris waris tadi terhadap tanah tersebut kerana nama mereka didaftarkan sebagai pemilik berdaftar yang diiktiraf oleh undang-undang, sedangkan beliau hanyalah mempunyai hak benefisial sahaja terhadap tanah dan rumah tersebut.
Apapun terpulang kepada kebijaksanaan peguam peguam kedua dua belah pihak untuk berhujah di mahkamah dari segi undang-undang dan tanpa mengenepikan elemen-elemen ekuiti dan kontrak lisan yang wujud dalam kes tersebut. Keputusan akhir terpulang kepada hakim mahkamah yang bijaksana untuk memutuskannya.
Bila berlaku isu saman fitnah, ini tindakan anda.
1. Buktikan elemen-elemen yang ditetapkan dalam kes saman fitnah
Begitu juga dengan isu saman fitnah atas kata-kata fitnah yang dikeluarkan oleh pakcik beliau.
Maka beliau perlulah membuktikan elemen-elemen yang ditetapkan dalam kes saman fitnah seperti wujudnya kata-kata fitnah dikeluarkan oleh pakcik berlaku, kata-kata fitnah itu telah disebarkan kepada pihak ketiga dan kesan daripada itu berlakunya kerugian kepada beliau.
Terpulanglah kepada kebijaksanaan peguam beliau untuk membuktikan elemen-elemen tersebut agar tuntutannya dibenarkan oleh mahkamah.
Walluaklam.
Sumber: Salkukhairi Abd Sukor