Siakap Keli
Kredit: Google

Umur 18 Tahun, Dikira Kanak-kanak Atau Dewasa? Peguam Jelaskan Takrifan Yang Berbeza-beza Mengikut Undang-undang

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini negara agak hangat dengan isu UNDI18, di mana terdapat dua ‘fahaman’ mengenai umur layak mengundi.

Ada pihak yang tegar berpendirian bahawa 18 tahun itu masih dikira belum layak, ada juga yang ‘berkeras’ menyatakan bahawa umur tersebut dianggap ‘matang’.

Menyentuh tentang umur, mungkin ada antara kita yang masih keliru, sebenarnya individu yang berumur 18 tahun ini masih dikira remaja lagi ke ataupun sudah dewasa, kan?

Kalau ikut tahap akil baligh, mungkin ramai berpendapat 18 tahun sudah dewasa.

Tapi bagaimanakah pula definisi ‘umur dewasa’ daripada sudut undang-undang? Ikuti penjelasan oleh peguam jenayah, Mufarwa Farid dalam satu perkongsian di bawah ini.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Google

1) Di Malaysia, seseorang itu sudah bermula tempoh ‘dewasa’ apabila umurnya mencapai 18 tahun.

2) Hal ini dikuatkan dalam Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengatakan kanak-kanak adalah orang yang di bawah umur 18 tahun.

3) Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) juga mewartakan bahawa had umur kanak-kanak sehingga 18 tahun sahaja.

4) Namun, takrifan umur kanak-kanak ini berbeza-beza mengikut undang-undang:

  • i – Kanak-kanak Muslim sehingga 18 tahun. Kanak-kanak non-Muslim sehingga 21 tahun. Ini menurut Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961.
  • ii – Kanak-kanak adalah lelaki dan perempuan bujang bawah 21 tahun. Ini menurut Seksyen 2 Akta Pengangkatan 1952.
  • iii – Kanak-kanak adalah berumur 15 tahun ke bawah. Ini menurut 1A Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966.
  • iv – Kanak-kanak adalah yang berumur 21 tahun dan ke bawah. Ini menurut Seksyen 2 Native Costumary Marriages (Maintenance) Ordinance 2003 of Sarawak.

5) Bagi undang-undang syariah pula, lebih rumit kerana tafsiran kanak-kanak berbeza mengikut negeri:-

  • i – Secara umumnya dalam Islam, usia dewasa itu bermula setelah seseorang itu baligh.
  • ii – Usia baligh tersebut diiktiraf di Wilayah Persekutuan dan undang-undang keluarga syariah di sini dan beberapa negeri.
  • iii – Bagi Melaka, anggapan usia seorang dewasa itu adalah 15 tahun ke atas.
  • iv – Bagi Terengganu, anggapan usia seorang dewasa itu adalah 18 tahun ke atas.

6) Hak seseorang mengikut umur di Malaysia juga berbeza-beza. Sebagai contoh:

  • i – Umur 18 tahun ke bawah tidak boleh menjadi pihak yang disaman atau pihak yang menyaman dalam sivil. Tapi, dalam jenayah, mereka boleh didakwa di mahkamah kanak-kanak.
  • ii – Umur 18 tahun juga tidak boleh menyertai apa-apa kontrak. Apa-apa kontrak dan perjanjian bersama bawah umur 18 tahun akan terbatal kecuali beberapa perkara.
  • iii – Umur 18 tahun ke bawah tidak boleh memilih agama sendiri.
  • iv – Bagi non-Muslim, umur 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan untuk berkahwin. Umur 16-17 tahun pula perlu dapatkan kebenaran daripada menteri besar/ketua menteri.
  • v – Bagi Muslim, umur bawah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan, tidak dibenarkan untuk berkahwin. Jika bawah daripada umur tersebut ingin berkahwin, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada hakim syarie.
  • vi – Orang asal dan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak tidak mempunyuai had umur untuk berkahwin.
  • vii – Umur 16 tahun ke atas sudah boleh mempunyai lesen motosikal. Dan 17 tahun ke atas boleh mempunyai lesen kereta.
  • viii – Umur 16 tahun ke atas boleh memiliki senjata api dengan kebenaran ketua polis negeri.
  • ix – Umur 15 tahun sudah boleh menjadi pekerja. Bawah umur 15 juga boleh, dengan syarat tertentu.
  • x – Umur 21 tahun ke atas sahaja boleh mengundi dalam pilihanraya.

7) Walaupun secara umumnya orang dewasa di Malaysia ditakrifkan sebagai 18 tahun, tetapi sebenarnya, hak-hak seseorang itu berbeza-beza walaupun sudah mencapai umur dewasa.

8) Hal ini menyebabkan tidak ada keseragaman untuk menentukan umur dewasa yang sebetulnya. Apatah lagi, menentukan umur manakah yang dianggap sebagai matang.

9) Ramai orang tertanya-tanya, kenapa tak beri sahaja orang yang berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi. Bukankah mereka sudah dewasa?

10) Sebenarnya perbezaan umur dan hak orang dewasa itu sendiri berubah-ubah mengikut undang-undang Malaysia. Jadi, tidak hairanlah kenapa umur mengundi pun tinggi sangat sampai 21 tahun.

11) Tulisan ini tidaklah mahu memberikan apa-apa komen tentang had umur mengundi. Saya hanya ingin berkongsi kepada anda tentang perbezaan hak-hak seseorang itu mengikut umur dalam konteks undang-undang.

Sumber: Mufarwa Farid

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.