Siakap Keli
Gambar: Twitter/Google

Ini Penjelasan Bagaimana ‘Full Moon’ Bantu Alihkan Kapal ‘Gergasi’ Yang Tersadai Di Terusan Suez

Setiap ciptaan tuhan mempunyai tujuannya yang tersendiri. Bukan sekadar hiasan, bulan mempunyai peranannya untuk kehidupan di Bumi. Salah satunya adalah dengan membantu proses membebaskan kapal bersaiz 400 meter yang tersadai di terusan Suez baru-baru ini.

Dipercayai kerana ditiup angin, kapal kargo sebesar 1,300 kaki itu telah membuatkan trafik di terusan berkenaan tersekat selama hampir seminggu. Menurut Space.com, kejadian itu bukan sahaja menarik perhatian seluruh dunia, malah angkasawan di angkasa.

Seorang angkasawan Rusia, Sergey Kud-Sverchkov yang tinggal di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah mengambil gambar kapal tersebut dari stesen berkenaan.

Pelbagai usaha dilakukan untuk membebaskan kapal tersebut termasuk dengan mengorek tebing bagi melepaskan busur kapal yang tersangkut. Namun, usaha itu tidak juga berjaya sehinggalah berlakunya fenomena air pasang semasa bulan penuh pada 28 Mac baru-baru ini.

Fenomena itu dipercayai telah menyumbang kepada pembebasan kapal Ever Given berkenaan pada 29 Mac, semalam.

Memetik New York Times, tahap air di terusan Suez meningkat sekitar 18 inci lebih tinggi daripada biasa, lapor Space.com.

Menurut Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Negara (NOAA), tarikan graviti bulan ketika ia memasuki fasa baru atau bulan penuh menyebabkan fenomena air pasang surut berlaku dengan lebih dramatik. Malah, fenomena bulan perigee yang dijangka berlaku pada 30 Mac ini (bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan bumi pada orbitnya) juga dijangka akan menyumbang kepada ombak yang ekstrem.

“Kita dibantu dengan gelombang pasang surut yang kuat pada petang ini,” kata Peter Berdowski, CEO Boskalis, firma yang ditugaskan membebaskan kapal karga Ever Given.

“Kesannya, anda mempunyai kuasa alam yang menolak kuat bersama anda, dan tolakan mereka lebih kuat daripada apa yang dua kapal tunda boleh tarik,” katanya.

Sumber: Space.com

BACA: Sebut Sahaja ‘Tokyo’ Terus Terbayang Kota Metropolitan, Rupanya Ada Keindahan Alam ‘Tersembunyi’

BACA: “Tak Sabar Travel Semula”, Tiga Restoran Mesra Muslim di Tokyo Ini Akan Buatkan Anda Rasa Selamat Walau Travel Lepas COVID-19

Amira

Love yourself.