Tak perlu diperkenalkan lagi, penyanyi, Dato’ Sri Siti Nurhaliza atau Tokti sememangnya merupakan kesayangan rakyat Malaysia, suaranya yang lunak dan merdu membuatkan dirinya terus diingati.
Bagi yang masih tidak tahu, 1 April ini menjadi tarikh keramat yang menandakan usia 25 tahun Tokti menyinari industri muzik tanah air.
Bukan setakat dijulang sebagai penghibur nombor 1 negara, beliau juga merupakan ikon yang menjadi ikutan kepada banyak penghibur-penghibur baru.
Menerusi Twitter miliknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya yang selama ini memberi kepercayaan dan sokongan kepadanya.
Terima kasih di atas kasih sayang, kepercayaan dan sokongan anda selama 25 tahun ini. Siti sayang anda. #jublisiti25 #legasi pic.twitter.com/0pgiodULxS
— Siti Nurhaliza (@CTNurhaliza11) March 31, 2021
‘Menyelusuri’ serba sedikit perjalanan seninya, karier nyanyiannya bermula pada usia 16 tahun iaitu selepas memenangi pertandingan Bintang HMI Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1 April 1995.
Selama berkecimpung dalam bidang seni ini, Tokti telah menghasilkan sebanyak 21 album termasuk satu album bahasa Inggeris.
Antara lagu hit Tokti ialah Kesilapanku Keegoanmu (1997), Cindai (1997), Biarlah Rahsia (2006) dan Aku Bidadari Syurgamu (2020).
Penyanyi nombor satu negara itu juga telah menerima banyak penghargaan dan anugerah termasuk Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Planet Muzik.
Beliau yang berusia 42 tahun itu juga mendapat pengiktirafan untuk mengabadikan namanya di Walk of Fame di Adelaide, lapor Astro Awani.
Sempena JubliSiti25 ini, ramai peminat yang mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Tokti kerana telah menjadi penghibur hati selama 25 tahun ini.
Sumber: Siti Nurhaliza