GEORGE TOWN, 31 Mac (Bernama) — Hospital Pulau Pinang (HPP) mencari ahli keluarga atau waris kepada seorang lelaki yang telah meninggal dunia pada bulan Januari, namun sehingga hari ini mayatnya masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu kerana tidak dituntut.
Timbalan Pengarah (Perubatan) HPP Dr. S.Shameni berkata, lelaki itu dikenali sebagai Chan Ah Beng, 84, dan beralamat terakhir di 1663, Jalan Tamby Kecil di Butterworth dekat sini.
“Lelaki itu yang beragama Budha mati disebabkan ischaemic heart disease pada 15 Jan lepas kira-kira pukul 5 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pihak polis telah pergi ke alamat itu untuk mencari ahli keluarga atau waris kepada mangsa, namun mereka memaklumkan tidak mengenali mangsa yang meninggal dunia tersebut.
Beliau berkata berikutan itu, HPP meminta kerjasama orang ramai yang mengenali ahli keluarga atau waris kepada lelaki itu agar menguhubungi pihak hospital di talian 04-2225068 untuk urusan pengebumian.
Sumber: BERNAMA