Pengorbanan seorang isteri sememangnya tidak ternilai, kesetiaan mereka terhadap suami perlu dihargai.
Ada sesetengah isteri yang diuji dengan keadaan suami yang sakit dan segala beban rumah tangga perlu dipikul sendiri.
Seperti kisah seorang wanita dari India ini yang sanggup melakukan apa saja bagi membiayai kos rawatan suaminya.
Lata Bhagwan Kare atau Lata Kare menjadi tular di India pada 2013 apabila dia memasuki sebuah pertandingan larian bagi mendapatkan wang.
Pada usia 65 tahun, dia berlumba sejauh 3 km dan berjaya memenangi perlumbaan itu.
Kerana pencapaiannya yang luar biasa itu, sebuah filem berkaitan kisahnya telah diterbitkan pada tahun 2020, lapor Cinestaan.
Dengan tajuk Lata Bhagwan Kare, ia telah ditulis dan diarahkan oleh Navin Deshboina.
Lata yang tinggal di sebuah kampung kecil di Maharashtra, India, menjalani kehidupan penuh kemiskinan bersama suami dan tiga anak perempuannya.
Dia dan suaminya bekerja keras sepanjang hidup mereka dan menggunakan semua wang simpanan mereka untuk menikahkan ketiga-tiga anak perempuan mereka.
Menurut The News, suaminya telah didiagnosis dengan jangkitan yang serius.
Doktor telah mencadangkan agar suaminya menjalankan beberapa ujian dan memerlukan banyak ubat, kosnya jauh melebihi kemampuannya.
Dia dengan berat hati pulang ke rumah bersama suaminya tetapi ketika melalui sebuah kedai, dia terlihat surat khabar yang memaparkan mengenai sebuah maraton dan pemenangnya akan mendapat wang tunai.
Melihat surat khabar itu, dia merasakan bahawa akan ada sinar yang menanti buatnya dan suaminya.
Pertandingan Maraton Baramati itu memperlihatkan peserta-peserta yang lengkap memakai kasut, seluar dan baju sukan yang sesuai untuk larian.
Berbeza dengan Lata Kare, dia hanya memakai Saree dan berkaki ayam.
Pada awalnya, dia terpaksa berdebat dengan penganjur kerana dia dikatakan sudah melanggar peraturan pertandingan itu.
Setelah memohon dan merayu, dia telah diberi kebenaran untuk menyertai maraton itu.
Dia telah mendapatkan hadiah wang tunai sebanyak 5,000 rupee, ia mungkin tidak sebanyak seperti hadiah maraton yang lain tetapi wang tersebut sudah cukup banyak buatnya.
Sejak itu, dia kerap mengambil bahagian dalam maraton bagi membayar keperluan keluarganya.
Dia juga menyertai maraton bagi mengumpulkan wang untuk membina sebuah rumah, lapor The News.