Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Pelancongan: Pakej, Harga Istimewa Menanti Penjawat Awam Di Wilayah Utara

IPOH, 31 Mac (Bernama) — Pakej dan harga istimewa kepada penjawat awam antara tawaran menarik daripada Tourism Malaysia Wilayah Utara dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan di Perak ketika era pandemik COVID-19.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara M.Yoganthiran berkata promosi secara berterusan itu antara yang ditawarkan di laman sesawang https://www.malaysia.travel/deals-packages untuk direbut terutama semasa pelaksanaan gelembung pelancongan bersasar ketika ini.

“Dalam laman sesawang Tourism Malaysia juga, kita ada banyak tawaran menarik yang sudah sedia ada selain mempromosikan pelancongan dalam televisyen, radio dan media sosial tidak kira di dalam dan luar negara. 

“Ada operator yang menawarkan 20 hingga 70 peratus diskaun bergantung kepada pemilik produk dan agensi pelancongan,” katanya pada sidang media program sesi sembang santai bersama Tourism Malaysia Wilayah Utara di sini.

Beliau berkata pihaknya juga mengendalikan lawatan suai kenai melibatkan media dan blogger serta aktiviti lain untuk terus mempromosikan pelancongan domestik.

Katanya promosi yang sedang dijalankan itu selaras dengan keputusan kerajaan membenarkan gelembung pelancongan bersasar dengan pelancong bergerak dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Yoganthiran berkata secara tidak langsung, ia berjaya memberi impak positif terhadap industri pelancongan terutama di utara Semenanjung yang menyaksikan pihaknya dan pemain industri menerima maklum balas positif termasuk pelbagai pertanyaan serta tempahan.

Beliau berkata sambutan itu turut terhasil susulan tawaran harga rendah daripada pemain industri pelancongan domestik selain konsep ‘beli dahulu guna kemudian’ yang banyak diterapkan.

”Kita menunggu isyarat kebenaran rentas negeri kerana pakej yang dipromosikan ini mendapat maklum balas yang baik,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.