Siakap Keli
Kredit: Bernama

UNIKL Bangkit Atasi TNB, THT Tepati Ramalan Ke Final

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) — Tiga gol pukulan sudut penalti menyelamatkan maruah juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengesahkan slot ke final Piala TNB selepas mengatasi TNB 3-1 pada aksi separuh akhir kedua, malam ini.

Ketiga-tiga gol dijaringkan pada suku terakhir perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, menyaksikan juara Liga Hoki Malaysia (MHL) itu mara ke pentas final dengan kejayaan agregat 4-1.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Megat Azrafiq Megat Termizi ketinggalan 0-1 hasil jaringan padang Muhammad Shamir Rizmi Mohd Shamsul pada minit ke-32 yang menjadi pembakar semangat buat barisan pemain TNB dalam memburu gol kedua.

Bagaimanapun, kekemasan benteng pertahanan UniKL berjaya mematahkan beberapa percubaan TNB sehingga ke suku terakhir sebelum UniKL menyamakan kedudukan menerusi Muhamad Hafiz Zainol pada minit ke-46.

Jaringan penyamaan yang mengecewakan dan menjejaskan tumpuan pasukan lawan itu pantas dihidu UniKL yang meledak dua gol dalam tempoh enam minit, masing-masing dijaringkan Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-53 dan Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-59).

Kejayaan itu mencerahkan peluang UniKL dalam misi memburu gelaran treble buat kali kedua tahun ini, selepas turut merangkul gelaran juara Piala Sumbangsih dengan menewaskan TNB menerusi penentuan penalti pada permulaan kempen saingan 2021.

“Kejayaan ini bukan sebab saya seorang tetapi semua pemain dan pembantu saya Saiful Azhar (Saiful Azhar Mohd Afandi. Mereka buat kerja berpasukan ini jadi sempurna,” kata Megat Azrafiq selepas perlawanan.

Menanti UniKL di pentas final adalah naib juara MHL Terengganu Hockey Team (THT) yang mara dengan kejayaan agregat 4-1 selepas menewaskan Maybank 2-1 pada aksi separuh akhir kedua di venue sama.

Skuad bimbingan ketua jurulatih K. Rajan hanya memerlukan tiga minit pertama bagi membuka akaun gol menerusi jaringan padang Luqmannul Hakim Ahmad Shukran sebelum aksi berlangsung sengit sehingga Alfarico Lance Liau Jr menyamakan kedudukan hasil jaringan padang pada minit ke-24.

Ketika Maybank terus buntu dalam usaha memburu dua gol bagi mengikat kedudukan agregat, Muhammad Sufi Ismat Md Rohulamin melengkapkan kemenangan 2-1 THT apabila menyudahkan jaringan padang pada minit ke-39 dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.

“Maybank tiada apa yang perlu dirisaukan, mereka bermain dan memberikan segalanya melebihi 100 peratus. Tetapi hari ini kita capai misi untuk menjaringkan gol sulung. Secara keseluruhan saya berpuas hati kerana kita tidak kalah, dan mara ke final,” kata Rajan selepas perlawanan itu.

Dalam pada itu, UniKL Ladies dan PKS United-KPT akan bertemu pada final Piala Vivian May Soars selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir kedua yang turut berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

UniKL Ladies mencatat kemenangan 3-0 ke atas Sabah sekali gus mara dengan agregat 11-0 sementara PKS United-KPT mengatasi PDRM Blue Warriors menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan apabila terikat 4-4 secara agregat selepas aksi berakhir dengan keputusan 1-1.

Sumber: BERNAMA