Siakap Keli
Gambar: Bernama

70,000 Murid, Pelajar Perak Bakal Terima Bantuan Telefon, Pelan Internet

PARIT, 1 April (Bernama) — Seramai 70,000 murid dan pelajar sekolah di Perak bakal menerima kemudahan peranti seperti telefon pintar dan kad sim dilengkapi pelan data internet bagi memudahkan mereka untuk mengulang kaji pelajaran.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, seramai 20,000 murid dan pelajar akan menerima manfaat kemudahan telefon pintar yang dilengkapi pelan data 10 Gigabit (GB) setiap bulan secara percuma selama setahun.

Saarani berkata selain itu, sebanyak 50,000 sim kad dilengkapi pelan data 40GB untuk tempoh 60 hari juga akan diberikan kepada pelajar yang terpilih.

“Inisiatif berkenaan bakal diterima melalui inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani hasil sumbangan Yayasan YTL kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan utama dan daripada kelompok keluarga berpendapatan rendah (B40).

“Bagi Parlimen Parit, sebanyak 200 hingga 500 unit diserahkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengenal pasti penerima yang benar-benar layak dengan keutamaan diberikan kepada calon peperiksaan awam (utama),” katanya.

Saarani berkata demikian selepas melancarkan majlis penyampaian telefon pintar peringkat Perak di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Dewan Dato’ Ahmad Hambal pada Program Menteri Besar Bersama Rakyat (Mesra) di daerah Perak Tengah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif YTL Corporation Berhad, Syed Abdullah Alhadad dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata secara keseluruhannya seramai 70,000 murid dan pelajar di seluruh Perak yang akan menerima bantuan ini secara berperingkat bermula hari ini.

Dalam pada itu, Saarani berkata peranti itu diperlukan terutama melibatkan sesi ulang kaji pelajaran di rumah biarpun sesi persekolahan secara bersemuka sudah bermula.

“Mereka boleh mengulang kaji di rumah dengan alat ini dan ia adalah ganti kepada buku latihan. Serahan dilakukan dua fasa dan hari ini adalah yang pertama,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.