KUALA LUMPUR, 2 April – Tarikh 18 Mac 2020 sinonim dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia dan hari itu juga menyimpan sejarah tersendiri untuk penulis kerana bayi yang dikandung seakan-akan tidak sabar mahu keluar segera untuk melihat dunia!
Sebelum ini saya membayangkan melahirkan anak kedua sudah tentu tidak begitu merumitkan kerana pernah melaluinya ketika melahirkan anak yang pertama pada tahun 2018.
Siapa tahu, pengalaman melahirkan anak kedua ini memberikan seribu satu pengalaman yang sudah tentu tidak mudah dilupakan.
Pemberita Bernama, Fatin Najmi Mohammad Shah berkongsi pengalaman melahirkan anak pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan penguatkuasaan PKP di seluruh Malaysia bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020 sebagai usaha drastik mencegah penularan wabak COVID-19 daripada menjangkiti lebih ramai rakyat negara ini.
Di bawah PKP, larangan menyeluruh dikuatkuasakan melibatkan pergerakan serta perhimpunan termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Penutupan jalan dan sekatan jalan raya turut dijalankan untuk memastikan perintah ini dipatuhi.
Untuk rekod, ketika PKP diisytiharkan, jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553.
BALIK KAMPUNG
Saya berasa begitu bersyukur kerana suami saya sempat menghantar saya pulang ke kampung halaman di Alor Setar, Kedah sebagai persediaan untuk bersalin, dua hari sebelum PKP diumumkan.
Cuma menurut pengiraannya, saya akan bersalin pada 22 Mac dan tidak pula menyangka ianya akan berlaku lima hari lebih awal iaitu pada 18 Mac 2020.
Bila dikenang kembali, pengalaman melahirkan anak dalam tempoh PKP ini boleh dikatakan pengalaman yang amat berharga. Bermula daripada perjalanan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar daripada rumah di Jalan Pegawai. Perjalanan dengan kereta sepatutnya mengambil masa sekitar 15 minit tetapi kerana banyak jalan ditutup, kami tiba di hospital dalam masa hampir 30 minit.
Tiba di hospital, penulis berasa agak cemas apabila melihatkan suasana di bahagian kecemasan begitu sibuk. Melihat banyak ambulans bersusun dan petugas kesihatan memakai pelitup muka membuatkan hati semakin berdebar. Maklumlah, pada ketika itu pemakaian pelitup muka masih dilihat sebagai sesuatu yang janggal.
“Ada kes Covid-19 kah?”
“Bolehkah bersalin di sini?”
“Aku sudah tumpah darah ni, takkan nak patah balik”.
Pelbagai persoalan bermain di minda penulis.
JALANI SARINGAN COVID-19

Sebelum melaporkan diri kebahagian bersalin, penulis dan peneman perlu disaring terlebih dahulu dengan perbagai soalan tapisan dalam memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Hati yang gusar semakin memuncak apabila melihat bilangan pesakit yang ramai di Bahagian Kecemasan dan bilangan doktor terhad kerana ramai yang di tempatkan di bahagian untuk mengendalikan kes COVID-19.
Namun, penulis tetap positif kerana tahu situasi getir COVID-19 yang sedang dihadapi negara. Mujurlah, setelah pelbagai peringkat pemeriksaan dijalankan, penulis diberikan kata putus untuk ‘ditolak’ ke dewan bersalin.
“Nurse, nanti ibu saya yang jadi peneman ya, suami saya masih dalam perjalanan dari negeri lain.”
“Maaf puan, tiada peneman yang dibenarkan ke dewan bersalin memandangkan situasi COVID-19 sekarang.”
Balik berdebar hati saya. Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, saya sememangnya mencari hospital yang membenarkan ibu bersalin ditemani. Namun kini, hal sebaliknya yang berlaku.
Biarpun demikian, penulis percaya ujian ini pasti ada manisnya. Alhamdulillah proses kelahiran ini hanya mengambil masa selama lebih kurang satu jam.
KATIL SEBELAH TANDAS
Memandangkan sesetengah wad lain dijadikan sebagai wad persedian COVID-19, maka keadaan di wad bersalin agak padat dengan bilangan katil memenuhi segenap ruang. Keadaan ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang selesa semestinya kepada ibu bersalin seperti penulis.
Penulis sendiri ditempatkan di katil tambahan, bersebelahan tandas dan lampu dibahagian katil penulis tidak boleh ditutup, jika tidak maka gelaplah tandas! Sesuatu yang membuatkan penulis tersenyum mengenangya kembali.
Namun begitu, saya tetap memanjatkan doa bersyukur kerana tidak semua ibu-ibu di situ berpeluang melihat dan menyusukan anak mereka secara langsung. Bagi bayi yang perlu ditempatkan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (Neonatal Intensive Care Unit / NICU), ibu mereka tidak dibenarkan untuk melawat bayi buat sementara waktu bagi mengawal pergerakan keluar dan masuk.
Dalam masa yang sama, suami atau wakil keluarga juga tidak dibenarkan melawat. Suami saya hanya dapat berjumpa anaknya ketika menjemput saya untuk pulang ke rumah, termasuk juga ibu saya yang sepatutnya menemani saya selepas saya bersalin, hanya melihat cucunya semasa saya dibenarkan discaj.
Ibu saya memberitahu saya kemudian betapa berdebarnya hati beliau ketika menunggu saya bersalin bersama adik saya apabila mendengar pengumuman ada pesakit COVID-19 akan tiba. Mereka diarahkan untuk menjauhkan diri kira-kira 100 meter daripada laluan yang akan digunakan untuk membawa pesakit COVID-19 masuk.
Meskipun saya bersalin sekitar pukul 9:50 malam, ibu hanya diberitahu berita itu pada pukul 12 malam.
Selepas bersalin, saya perlu membawa bayi saya menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan setiap hari selama seminggu kerana dikesan demam kuning atau jaundis. Arahan pemeriksaan ini mungkin biasa tetapi yang tidak biasanya apabila perjalanan harus melalui beberapa sekatan jalan raya. Memandangkan banyak jalan ditutup, kami terpaksa mengambil jalan yang jauh.
Sungguhlah, pengalaman ini adalah sesuatu yang amat berbeza tetapi berharga. Sesuatu yang pasti dikongsikan dengan bayi saya yang kami namakan Aaron Yusouf, di kemudian hari.
Lagi satu perkara yang ingin dikongsi, jika selepas melahirkan anak pertama, saya menjalani rawatan berurut, untuk anak kedua, saya hanya boleh berbuat demikian pada hari ke-35 selepas bersalin. Tukang urut beritahu saya, beliau bimbang keluar rumah, takut dijangkiti COVID-19.
— BERNAMA