Siakap Keli

Kenapa Jaket Keselamatan Kebiasaannya Warna Oren? Ini Penjelasan Dan Tragedi Yang Pernah Berlaku

Kenapa jaket keselamatan yang banyak digunakan sekarang berwarna oren tapi dalam filem Titanic warna putih?

Warna oren ialah “warna antarabangsa” yang digunakan untuk alat-alat keselamatan. Hal ini kerana, teori asas warna menunjukkan warna oren sebagai warna paling kontra dengan warna biru seperti air laut.

Sebelum ini, jaket keselamatan yang digunakan secara meluas berwarna putih, termasuk ketika tragedi kapal Titanic pada tahun 1912. Di lautan, pantulan cahaya daripada air menyebabkan warna putih sangat sukar kelihatan.

Antara warna lain yang digunakan pada jaket keselamatan sebelum 1960-an adalah biru dan kelabu.

Pada tahun 1962, jaket keselamatan dan alat-alat keselamatan yang lain diselaraskan dengan warna oren kerana satu peristiwa mengerikan yang terjadi kepada seorang kanak-kanak di perairan Florida pada tahun sebelumnya.

Tragedi ngeri keluarga Duperrault

Pada musim sejuk tahun 1961, Dr. Arthur Duperrault bersama isterinya Jean dan ketiga anaknya Brian, 14, Terry Jo,11, dan Renee, 7, menyewa kapal Bluebelle untuk pelayaran ulang-alik mereka dari pelabuhan Lauderdale ke Bahamas.

Kapal Bluebelle dikendalikan oleh Kapten Julian Harvey, seorang bekas tentera Amerika Syarikat ditemani isterinya, Mary.

Dalam pelayaran mereka kembali ke Florida, satu tragedi yang mengerikan terjadi apabila Kapten Harvey membunuh isteri yang baharu dikahwininya empat bulan untuk polisi insurans.

Bukan itu sahaja, keluarga Duperrault yang diperkirakan menjadi saksi perbuatannya turut dibunuh.

Terry Jo, anak kedua keluarga itu tersedar dari tidur kerana jeritan ibunya. Namun, Kapten Harvey tidak membunuhnya melainkan meninggalkan Terry Jo untuk tenggelam bersama Bluebelle.

Dengan naluri bertahan hidup yang tinggi, Terry Jo berjaya berpaut kepada sebuah sekoci kecil. Kanak-kanak perempuan itu terumbang ambing di lautan selama empat hari tanpa apa-apa kecuali baju tidur yang dipakainya pada hari kejadian.

Empat hari kemudian, Terry Jo diselamatkan oleh kapal kargo Yunani dalam keadaan yang sangat lemah.

Dalam tempoh empat hari itu, helikopter sempat berlegar-legar di kawasan Terry Jo berada namun tidak dapat mengesan keberadaannya. Kenapa?

Kerana sekoci darurat yang menampung Terry Jo berwarna putih.

Warna oren yang digunakan pada jaket dan alat keselamatan hari ini adalah saranan daripada Kapten Theo, nakhoda kapal kargo Yunani yang menyelamatkan Terry Jo.

Sehingga kini, warna oren masih digunapakai untuk jaket keselamatan, sekoci darurat dan pelbagai alat keselamatan lain.

SUMBER: Medium

Eyla Azri