Siakap Keli
Gambar: Apex Legends/BunnyH0p

Pemain Malaysia Menang Kejohanan Apex Legends Asia Pasifik, BunnyH0p Bawa Pulang RM124,000

Pemain e-sukan Apex Legends, Panggau Noel Uthan Chuat (BunnyH0p) menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang memenangi Kejohanan Siri Global Apex Legends Winter – Asia Pasifik (Selatan) pada minggu lalu bersama pasukannya, Grape, lapor media WTM Today.

BunnyH0p memetik WTM Today berkata, kejayaannya itu diharapkan dapat menyuntik semangat kepada lebih ramai pemain Malaysia untuk menyertai kejohanan itu kelak.

”Saya berharap kejayaan saya akan menggalakkan lebih ramai pemain Malaysia untuk mencuba dan menyertai kejohanan Apex Legends yang akan datang.

”Saya percaya Malaysia mempunyai ramai pemain yang berbakat namun hanya beberapa sahaja termasuk saya yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan,” katanya.

Dalam Siri Global Apex Legends (Winter) yang bermula dari 29 Januari sehingga 28 Mac lalu, BunnyH0p bergandingan dengan pemain Thailand Sila Akepadcha (KzyyX) dan Thoriq Sultan (Bigzzy).

Dia berjaya membawa pulang hadiah kemenangan kira-kira RM124,200 (AS$30,000) bersama pasukannya.

BunnyH0p yang mula bermain Apex Legends sejak permainan itu dilancarkan pada Februari 2019, berkata dalam satu catatan di Facebook bahawa dia hanya mensasarkan kedudukan 20 terbaik dalam kejohanan Apex Legends itu.

”Saya memberitahu pasukan saya, menang kalah belakang cerita. Apa yang penting kita cuba sebaik mungkin. Saya ada impian iaitu memenangi sebuah kejohanan.

”Impian itu telah menjadi realiti,” katanya yang dijangka akan terus menyertai kejohanan kompetitif Apex Legends pada masa akan datang.

Peminat e-sukan Apex Legends boleh mengikuti perkembangan terkini dan memberi sokongan kepada BunnyH0p dengan mengikutinya di Facebook Gaming.

Sumber: BunnyH0p

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.