Siakap Keli

NASOM Lancarkan Program Pakar E-Dagang Bertauliah Pertama Di Dunia Bagi Belia Autistik Di Malaysia

Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) telah mengumumkan pelancaran program Pakar E-dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 kendaliannya. Program latihan dan perantis khusus ini bertujuan memperkasakan belia penghidap autisme di Malaysia dengan kemahiran pemasaran digital dan E-Dagang, seterusnya membuka peluang kerjaya baharu dalam kalangan komuniti autisme. Sejajar dengan tema Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD), iaitu Keterangkuman di Tempat Kerja: Cabaran dan Peluang dalam Dunia Pasca Pandemik, program sulung ini mengalu-alukan penyertaan belia autisme yang berusia antara 16 hingga 21 tahun di seluruh Malaysia untuk mendaftar bagi pengambilan pertama yang bermula pada pertengahan April 2021.

“Lazimnya, industri runcit dan hospitaliti ialah sektor yang kebiasaanya mengambil penghidap autisme dewasa sebagai pekerja.  Program Pakar E-Dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 ini membolehkan kami mengolah tradisi dan membuka peluang baharu bagi komuniti autisme. Kami percaya sambil dunia berkembang maju dari segi teknologi, anak-anak muda kini perlu dipupuk dengan kemahiran relevan, lantas mewujudkan peluang saksama dalam dunia digital bagi golongan autisme untuk melangkah maju sebagai insan berdikari yang mampu menyumbang sebagai anggota masyarakat yang produktif,” kata Ketua Program NASOM – Vokasional, Saffiza Anuar.

Jualan E-Dagang global kian berkembang pesat kebelakangan ini, lebih-lebih lagi dengan Covid-19 sebagai faktor pencetus utama. Hasilnya, syarikat-syarikat perniagaan telah mempergiatkan rancangan pendigitalan operasi dan memanfaatkan peluang baharu untuk melayani pelanggan baru yang sebelum ini tidak dapat dicapai disebabkan had geografi. Hakikatnya, trend ini telah membawa kepada lonjakan permintaan bagi bakat-bakat mahir dalam bidang E-Dagang dan pemasaran digital.

Latihan yang dikendalikan oleh Y Ventures Group Ltd dengan sokongan NASOM ini ialah program peringkat asas yang disesuaikan mengikut pengalaman dan kemahiran setiap pelajar. Pelajar di Tahap 1 akan menjalani latihan selama 6 minggu membabitkan enam (6) kemahiran asas E-Dagang, iaitu mencipta laman sesawang WordPress, cara memasarkan perniagaan di Internet, alat fotografi digital, menggunakan media sosial dalam perniagaan, cara mencapai kedudukan teratas dalam enjin pencarian dan pengenalan kepada Adobe Photoshop CC.

Peluang kerjaya bagi belia yang menghidap autisme di sekitar Asia Tenggara dan Malaysia secara khususnya, masih rendah. Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) telah menghasilkan kertas dasar yang mendedahkan keperluan menyediakan lebih banyak latihan dan peluang pekerjaan bagi belia autisme di semua peringkat.  “Kita perlu sedar bahawa autisme mempengaruhi individu secara berbeza dan pada tahap yang berbeza.  Oleh yang demikian, ia tidak memadai untuk menggunakan satu kaedah penyelesaian untuk yang sama bagi semua orang. Walaupun tumpuan terhadap pekerjaan kemahiran rendah cukup penting bagi individu autisme yang mempunyai keupayaan intelektual yang terjejas, namun usaha ini akhirnya mengecualikan individu yang berkeupayaan daripada mendapatkan pekerjaan bermakna,” menurut institut tersebut dalam kertas dasarnya yang bertajuk ‘Hidup dengan Autisme di Malaysia’.

“NASOM berbangga untuk berganding bahu dengan Y Ventures Group Ltd, sebuah syarikat E-Dagang yang tersenarai di Singapura berlandaskan data dengan keupayaan terasnya dalam membangun dan melaksanakan kurikulum latihan berkaitan E-Dagang dan teknologi yang bertujuan memupuk bakat untuk memacu perniagaan dalam ekonomi digital baharu. Kami percaya individu dengan autisme, terutamanya pelajar kursus ini, akan mendapatkan manfaat daripada bimbingan pakar-pakar industri. Tambahan lagi, peluang pekerjaan langsung menerusi latihan amali dalam program ini akan membolehkan pelajar mengguna pakai ilmu mereka dalam dunia kerjaya, lantas membuktikan bahawa walaupun menghadapi gangguan spektrum autisme, mereka mempunyai keupayaan setanding golongan belia sebaya mereka,” ujar Saffiza.

Mengulas mengenai kerjasama dengan NASOM, Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan Y Ventures Group Ltd, Adam Low berkata, “Kami teruja untuk menawarkan kepakaran dan pengalaman kami kepada NASOM untuk membantu mencungkil bakat belia hari ini yang menghidap austisme. Menerusi program ini, kami ingin membantu golongan belia memulakan perjalanan sebagai pelopor Digital dan E-Dagang Masa Depan. Selama 22 tahun, kami telah membina syarikat ini yang mempunyai asas teguh sebagai pengedar dan perunding E-Dagang berlandaskan data dengan operasi di 25 pasaran dalam talian di 10 negara. Ilmu dan pengalaman luas yang ditimba menerusi kerjasama serta usaha membantu pelbagai jenama mencapai matlamat perniagaan masing-masing telah memberi inspirasi kepada kami untuk merintis jalan kerjaya baharu bagi masyarakat yang kurang keupayaan sosial.”

Program ini merupakan pertama seumpamanya di dunia yang ditawarkan kepada individu autistik. Pengarah Urusan Y Ventures Group Ltd, Adam Low meluahkan harapannya agar menerusi program sulung ini, lebih banyak persatuan-persatuan lain akan tampil untuk memberikan peluang kepada individu autistik mengasah bakat masing-masing.

Program ini akan dikendalikan menerusi platform dalam talian dan terbuka kepada semua belia autisme di Malaysia. Pengambilan  pertama dijadualkan bermula pada pertengahan April 2021.

Sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia diraikan di Malaysia, Saffiza berharap, NASOM akan mara ke hadapan dalam usaha mencapai wawasan membina sebuah masyarakat terangkum di mana individu dengan autisme mampu menyerlahkan potensi penuh masing-masing, melibatkan diri dalam masyarakat dan menjalani kehidupan bermakna dan bermaruah.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Pakar E-Dagang Bertauliah (CES) Tahap 1 atau untuk mendaftar, sila hubungi Ketua Program NASOM –  Vokasional, Saffiza Anuar di +603 7832 1928 atau emel di [email protected]

Mengenai Persatuan Autisme Malaysia (NASOM)

Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM) ialah sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang ditubuhkan pada tahun 1986 oleh sekumpulan ibu bapa dan golongan profesional yang prihatin.

NASOM, yang didaftarkan pada 3 Mac 1987 sebagai pertubuhan amal kebangsaan, berusaha menyediakan rangkaian perkhidmatan sokongan untuk membantu individu dengan autisme, terutamanya kanak-kanak dan ahli keluarga terdekat mereka. NASOM mempunyai 17 buah pusat di seluruh Malaysia yang disokong oleh lebih daripada 150 anggota kakitangan, termasuk tenaga pengajar. Pusat-pusat ini menyediakan pelbagai program, seperti saringan, penilaian, intervensi awal, intervensi intensif,  terapi, serta pembangunan vokasional dan kemahiran.

Mengenai Y Ventures Group Ltd

Y Ventures Group Ltd ialah sebuah syarikat E-dagang berlandaskan data yang tersenarai di Bursa Singapura. Memanfaatkan keupayaan analitik datanya, Y Ventures Group Ltd bekerjasama dengan jenama-jenama terkemuka di dunia untuk menjual produk masing-masing di berbilang negara yang meliputi pelbagai pasaran dalam talian. Perniagaan terasnya termasuk Perkhidmatan Pengurusan Saluran E-Dagang, Rundingan Pendigitalan dan Kurikulum Latihan.

Nur Farra