Siakap Keli

Orang Dewasa Pun Boleh Dapat Sakit Telinga, Selain Jangkitan, Tahi Telinga Banyak Juga Puncanya

Bukan senang nak kenalpasti punca sakit telinga ni, betul tak? Diagnosis punca sakit telinga lebih mudah dikesan kepada kanak-kanak kerana mereka golongan yang lebih sering terkena. TETAPI orang dewasa pun tak terkecuali tau!

Gejala sakit telinga boleh berlaku kepada sebelah atau kedua-dua belah telinga kita. Kebanyakkan aduan yang diterima melibatkan sebelah telinga dengan karakter telinga seolah terbakar atau dicucuk.

Apa punca sakit telinga yang lazim?

Sakit telinga boleh mempunyai punca langsung dan tidak langsung. Bagi punca langsung, ia berlaku akibat proses penyakit yang mempengaruhi telinga itu sendiri.

Sementara itu, bagi sebab tidak langsung pula, punca sakit telinga boleh berasal daripada struktur lain seperti gigi atau dagu dan kesakitannya dirasai pada telinga.

Keadaan ini turut dikenali sebagai kesakitan yang dirujuk (referredpain).

Antara punca sakit telinga yang lazim didiagnosis adalah seperti berikut.

Jangkitan telinga

Jangkitan kuman adalah punca yang paling lazim didiagnosis bagi simptom berkait dengan sakit telinga.

Ia boleh berlaku pada luar, bahagian tengah atau dalam telinga.

Bagi jangkitan luar telinga, ia boleh berpunca daripada aktiviti renang, pemakaian alat bantu dengar atau ‘earphone’ atau luka pada bahagian luar telinga.

Luka yang terjadi akibat garuan boleh menyebabkan jangkitan begitu juga dengan air yang melembutkan kulit di sekitar lohong telinga.

Situasi tersebut boleh menjadi lokasi ideal untuk pembiakan bakteria.

Jangkitan bahagian tengah telinga pula sering berlaku akibat jangkitan saluran pernafasan. Cecair boleh berkumpul di belakang gegendang telinga sehingga membolehkan bakteria untuk membiak.

Sementara itu, labirintitis adalah masalah jangkitan telinga dalam yang berpunca daripada jangkitan bakteria atau virus pernafasan.

Punca lazim bukan jangkitan telinga

Bukan semua sakit telinga berlaku akibat jangkitan. Bagi punca selain jangkitan adalah seperti berikut:

  • Perubahan tekanan di dalam telinga (sewaktu menaiki kapal terbang)
  • Tahi telinga banyak
  • Objek asing di dalam telinga
  • Jangkitan bakteria pada tekak
  • Jangkitan sinus
  • Syampu atau air tersumbat di dalam telinga
  • Penggunaan putik kapas di dalam telinga

Bagi punca tidak lazim untuk sakit telinga pula adalah:

  • Sindrom sendi temporomandibular (TMJ)
  • Gegendang telinga berlubang
  • Radang sendi pada dagu
  • Jangkitan gigi
  • Ekzema di dalam lohong telinga
  • Sakit saraf muka kronik (trigeminal neuralgia)

Simptom yang boleh dialami

Gejala sakit telinga jarang datang bersendirian. Ia kebiasaannya datang dengan simptom lain yang boleh memberi klu kepada doktor untuk membuat diagnosis.

Bagi orang dewasa, simptom yang boleh dialami selain sakit telinga adalah:

  • Kurang pendengaran
  • Cecair keluar daripada dalam telinga

Sementara itu, kanak kanak akan mengalami simptom seperti:

  • Sakit telinga
  • Kurang pendengaran
  • Demam
  • Rasa penuh di dalam telinga
  • Sukar tidur
  • Menangis
  • Sakit kepala
  • Kurang selera makan
  • Tidak seimbang

Oleh sebab punca sakit telinga tidak semestinya bermula daripada telinga, anda tidak boleh membuat diagnosis tanpa bantuan doktor.

Rujukan kepada profesional boleh membantu anda mengenal pasti sebab berlakunya gejala tersebut dan rawatan boleh diberikan mengikut keperluan semasa.

Rawatan untuk sakit telinga

Secara teorinya, rawatan bagi masalah sakit telinga bergantung kepada diagnosis. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang anda boleh cuba di rumah untuk mengurangkan rasa sakit.

  1. Basahkan kain dengan air sejuk dan tuam pada telinga yang sakit.
  2. Pastikan telinga anda tidak terlalu basah.
  3. Duduk dengan postur yang betul untuk melegakan tekanan di dalam telinga.
  4. Guna ubat titik telinga yang boleh dibeli tanpa preskripsi (OTC).
  5. Ambil ubat tahan sakit OTC.
  6. Kunyah gula-gula getah untuk melegakan tekanan di dalam telinga.
  7. Jika sakit telinga dialami oleh bayi, anda boleh memberi mereka makan (atau menyusu).

Jika anda mengalami simptom jangkitan seperti demam, anda perlu mendapatkan khidmat doktor bagi mendapatkan preskripsi antibiotik.

Ingat! Anda perlu menghabiskan preskripsi antibiotik anda walaupun sudah sihat sebelum ia habis diambil.

Sekiranya sakit telinga anda berpunca daripada pengumpulan tahi telinga, anda boleh guna ubat titik untuk melembutkan tahi telinga tersebut.

Ia boleh keluar dengan lebih mudah dan kesakitan anda akan berkurangan.

Jika perlu, doktor boleh menggunakan alat penyedut untuk mengeluarkan tahi telinga tersebut.

Rawatan bagi keadaan lain (kesakitan yang dirujuk) bergantung kepada diagnosis.

Konklusi

Terdapat banyak punca sakit telinga dalam kalangan orang dewasa dan ia boleh terjadi akibat proses penyakit langsung atau tidak langsung.

Sekiranya anda mengalami simptom sakit telinga, pastikan anda rujuk kepada doktor perubatan untuk pemeriksaan dan rawatan.

Atiqah Aliah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.