Siakap Keli

PERKESO Dengan SME Malaysia Dan FMM Buka Lebih 3,000 Peluang Kerja

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) proaktif dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu individu yang kehilangan  pekerjaan untuk mendapatkan peluang pekerjaan secara lebih efektif.  

Baru-baru ini, PERKESO telah memeterai kerjasama strategik dengan Federation of Malaysian  Manufacturers (FMM) dan SME Association of Malaysia (SME Malaysia) bagi menyalurkan  komunikasi berkenaan inisiatif kerajaan berkaitan pekerjaan dan peningkatan peluang pekerjaan,  dan pada masa yang sama, membantu ahli-ahli FMM dan SME Association untuk menggajikan  pekerja baharu.  

Menerusi kerjasama strategik ini, majikan daripada kedua-dua pertubuhan ini boleh  memanfaatkan peluang daripada Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan  (PenjanaKerjaya) yang disediakan untuk majikan yang berjaya mengambil pekerja baharu.  PERKESO menguruskan insentif di bawah Program PenjanaKerjaya yang menyediakan subsidi  kepada majikan sehingga RM36,000 bagi setiap pengambilan pekerja baharu untuk tempoh  maksimum 6 bulan.  

Selain itu, setiap pekerja baharu digajikan layak untuk mengikuti program latihan yang ditanggung sepenuhnya di bawah PenjanaKerjaya sehingga RM7,000 bagi satu kursus latihan. Pekerja pekerja ini juga layak menerima satu bayaran Bantuan Mobiliti sebanyak RM500 atau RM1,000. 

Pakej insentif ini bertujuan membantu majikan untuk mendapatkan pekerja berkemahiran untuk  operasi mereka dan seterusnya membantu pengembangan perniagaan. Pada masa yang sama,  insentif ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan  dan menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara. 

Bagi menggalakkan penggunaan insentif ini secara maksimum di kalangan majikan, PERKESO  akan mengadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs pada 7 dan 8 April 2021 dengan  penyertaan daripada 64 ahli FMM and SME, yang menyediakan lebih 3,000 peluang  pekerjaan.  

Sepanjang karnival dua hari tersebut, PERKESO akan turut menyediakan kaunseling kerjaya dan  panduan menggunakan platform pekerjaan negara, MYFutureJobs.  

Acara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre, di sini, dari 9 pagi hingga  4 petang, dibuka untuk orang ramai dengan pematuhan SOP yang ketat. Memandangkan  bilangan penyertaan adalah terhad mengikut pelaksanaan SOP, PERKESO menyeru pencari  kerjaya yang berminat untuk mendaftar di https://careerfair.perkeso.gov.my/. 

Karnival Kerjaya MYFutureJobs akan menjadi platform dalam membantu majikan mendapatkan  pekerja yang bersesuaian selain membantu pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan.  

PERKESO mengalu-alukan lebih banyak kerjasama strategik daripada organisasi, perusahaan  dan majikan yang berminat untuk menyertai Karnival Kerjaya PERKESO di seluruh negara. Untuk  maklumat lanjut, majikan boleh menghubungi PERKESO di 1-300-22-8000/03-8091 5300 atau  emel kepada [email protected] 

Nur Farra