Siakap Keli
Gambar: Bernama

Polis Buka Semula Kertas Siasatan Geng Lanun Merah Black Maria 360 -Acryl Sani

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan kemunculan kembali Geng Lanun Merah Black Maria 360 yang disyaki mengendalikan aktiviti pembuangan sisa toksik berjadual, pengedaran dadah dan penyeludupan pendatang tanpa izin di sekitar Klang.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed untuk kembali membuat pemantauan dan siasatan berterusan berhubung dakwaan terbabit.

“Jika diikutkan sebelum ini, perkara terbabit telah timbul dan PDRM menerusi JSJ telah membuat siasatan terperinci di mana kami dapati ia tidak wujud seperti didakwa.

Namun apa yang berlaku kini perkara terbabit kembali ditimbulkan jadi saya telah mengarahkan untuk perkara ini kembali disiasat. Kami dalam masa sama masih menunggu sebarang hasil siasatan yang dilakukan,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2020 Polis Diraja Malaysia di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini, hari ini.

Pada 4 April lepas, media melaporkan kumpulan berkenaan dianggotai tidak kurang 500 ahli menjadikan kumpulan kongsi gelap itu antara kumpulan penjenayah terancang menguasai pelbagai kegiatan jenayah di kawasan Klang, Selangor.

Ekoran itu, JSJ akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kumpulan terbabit yang aktif sejak 2013 yang dikatakan turut didalangi seorang pegawai kanan polis wanita.

Dalam perkembangan berasingan, Acryl Sani berkata pihaknya akan sedaya upaya bertindak meminimumkan pergerakan rentas negeri oleh orang ramai menjelang bulan puasa ini.

“PDRM mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara berhubung itu (pergerakan rentas negeri) dan kami tidak mahu terdapatnya kluster balik kampung dan sebagainya timbul menjelang Ramadan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata pihaknya sedang mengesan seorang penama di Facebook dipercayai memuat naik laporan mendakwa seorang warga PDRM di Perak meninggal dunia akibat pengambilan vaksin COVID-19.

“Kertas siasatan telah dibuka… satu nama didapati menyebarkan perkara itu dan kami masih mengesan keberadaannya.

“Dakwaan itu setelah disiasat dan ianya adalah tidak benar dan kematian anggota itu tiada kaitan dengan vaksin. Jadi saya minta hentikan daripada membuat spekulasi,” katanya.

Terdahulu Acryl Sani menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2020 kepada 12 pegawai kanan termasuk Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Seramai 10,137 individu terdiri daripada Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Am Polis seluruh negara menerima sijil APC PDRM termasuk sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sumber: BERNAMA