Siakap Keli

Kadang-kadang Mungkin Tak Sedar, Ini Tanda-tanda Kanser Serviks Yang Jarang-jarang Berlaku

Punca utama penyakit ini adalah pendedahan terhadap virus papilloma (HPV) melalui hubungan seks. Kebiasaannya berlaku apabila badan manusia dicerobohi oleh HPV ini, sistem imun akan melindungi  badan daripada kesan buruk yang dibawa oleh virus tersebut.

Ketumbuhan kanser serviks adalah sejenis kanser yang berlaku pada sel serviks. Sel tersebut berada dibawah rahim menghubungkan struktur tersebut dengan faraj.

Simptom yang sering dilaporkan oleh pesakit kanser serviks

Apabila berbicara mengenai ketumbuhan pangkal rahim, simptom yang sering dilaporkan oleh pesakit adalah berkaitan dengan pendarahan.

Terdapat beberapa bentuk pendarahan yang boleh menjadi tanda awal terhadap berlakunya masalah kanser. Antaranya adalah:

  • Pendarahan faraj yang abnormal. Ini merupakan satu istilah umum yang merujuk kepada pendarahan tidak normal dalam kitaran haid. Pendarahan yang berlaku di antara dua kitaran haid kebiasaannya menjadi tanda awal kepada penyakit seperti kanser serviks. Oleh sebab darah yang keluar boleh jadi kelihatan pudar dan cair, ia sering diabaikan. Bagi mereka yang sudah menopaus, jika berlaku pendarahan, ia turut boleh menjadi tanda awal bagi kanser serviks
  • Pendarahan selepas hubungan seks. Walaupun hanya sedikit yang keluar, pendarahan selepas hubungan seks perlu disiasat. Terdapat pelbagai jenis punca yang boleh menyebabkan pendarahan selepas hubungan seks seperti jangkitan dan kanser
  • Pendarahan berlebihan semasa haid. Jika anda mengalami pendarahan berlebihan atau tempoh haid berpanjangan berbanding dengan kitaran haid anda yang normal, ia perlu diperiksa oleh doktor. Apa yang anda perlu ambil perhatian adalah apakah tempoh masa normal bagi pendarahan yang sering anda alami? Jika ia berbeza dengan sebelum ini, perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada doktor

Selain pendarahan, pesakit juga boleh mengalami simptom…

Sakit pada bahagian pelvik juga boleh menjadi simptom bagi kanser serviks.

Walaupun ia tidak spesifik namun pemeriksaan awal boleh membantu mengenal pasti puncanya dan jika ia kanser, rawatan susulan boleh diberikan secepat mungkin.

Sakit yang dialami kebiasaannya di bawah kawasan pusat. Kebanyakan pesakit melaporkan karakter sakit sebagai sakit yang dicucuk-cucuk.

Apa yang lebih penting adalah ia boleh jadi semakin teruk ketika atau selepas melakukan hubungan seks.

Selain daripada sakit pelvik, faraj pesakit kanser serviks juga boleh mengeluarkan cecair tidak normal yang berwarna coklat kemerah-merahan.

Pun begitu, warna cecair berbeza mengikut individu. Jumlahnya boleh jadi banyak atau sedikit dan ia boleh jadi kerap atau keluar kadangkala sahaja.

Simptom yang jarang berlaku disebabkan oleh ketumbuhan pangkal rahim

Apabila ketumbuhan serviks sudah semakin membesar, ia boleh menekan organ lain terutamanya pundi kencing dan bahagian bawah usus besar yang terletak berdekatan dengannya.

Perkara ini boleh mempengaruhi fungsi organ tersebut dan menyebabkan simptom sakit akibat tekanan pada saraf dan salur darah yang terletak berdekatan dengan kawasan tersebut.

Antara simptom yang boleh dialami pesakit akibat kanser serviks adalah:

  • Sakit belakang. Boleh berlaku akibat tekanan yang disebabkan oleh tumor yang semakin membesar terhadap saraf tulang belakang
  • Kaki menjadi bengkak. Apabila tumor menekan pada kelenjar limfa atau salur darah vena, ia boleh menghalang aliran normal menyebabkan kaki anda kelihatan bengkak
  • Simptom usus dan pundi kencing. Oleh sebab kedua-dua ini terletak berdekatan, ketumbuhan pangkal rahim boleh menyebabkan simptom seperti tidak boleh tahan kencing, tahan buang air besar atau kedua-duanya. Jika tumor terlalu besar, ia juga boleh menghalang aliran keluar najis dan air kencing menyebabkan masalah sembelit dan kencing tidak lawas

Konklusi

Jika anda mengalami sebarang simptom kanser serviks seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda membuat pemeriksaan dengan kadar segera.

Diagnosis awal boleh membantu anda untuk mencapai kesembuhan daripada keadaan kesihatan ini.

sumber: Hello Doktor

Atiqah Aliah