Hanya beberapa saat sahaja dapat merasai nikmat kemenangan, pemenang pertandingan ‘Mrs. Sri Lanka’ didakwa telah cedera di bahagian kepala setelah mahkotanya ‘dirampas’.
Kejadian yang disiarkan secara langsung di televisyen di Colombo itu menyaksikan Pushpika De Silva dinobatkan sebagai Mrs Sri Lanka bagi tahun 2021.
Pun begitu, Mrs Sri Lanka 2019, Caroline Jurie, secara tiba-tiba meluru ke pentas dan mengambil mahkota dari kepala De Silva, dia menyerahkan mahkota itu kepada naib pemenang.
Menurut Global News, Jurie mendakwa bahawa De Silva sebenarnya sudah bercerai dan disebabkan itu dia menganugerahkan mahkota itu kepada orang lain.
“Ada peraturan bahawa kita semua harus berkahwin dan tidak bercerai, jadi saya mengambil langkah pertama dengan mengatakan bahawa mahkota itu menjadi milik first runner,” kata Jurie.
De Silva menafikan bahawa dia sudah bercerai tetapi mengaku bahawa dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan suaminya.
Dia juga memuatnaik satu kiriman di Facebook yang mendakwa bahawa dia mengalami kecederaan di kepala dan perlu dirawat di hospital akibat kejadian itu.
Penganjur pertandingan itu kemudian mengesahkan kemenangan De Silva dan menobatkannya semula sebagai Mrs Sri Lanka.
“Kami kecewa, ia sangat memalukan apabila Caroline Jurie bersikap seperti itu semasa di atas pentas dan organisasi Mrs World telah memulakan siasatan mengenai masalah tersebut,” kata ketua Mrs Sri Lanka World, Chandimal Jayasinghe.
Jurie sebelum ini telah memenangi gelaran Mrs Sri Lanka dan selepas itu memenangi pertandingan ratu cantik antarabangsa ‘Mrs World’.
Sumber: Global News