Siakap Keli
Foto: Facebook Via Bernama

Lelaki Maut Tercampak Dari Kereta Selepas Rempuh Belakang Lori Di Sungai Choh

KUALA LUMPUR, 8 April – Seorang lelaki maut selepas tercampak dari kereta yang dipandunya akibat merempuh belakang sebuah lori di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Sungai Choh, dekat Rawang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi, mangsa S. Rajkumar, 25, yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dipercayai melanggar tayar belakang sebuah lori lain yang datang dari arah bertentangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Ridzuan Khalid berkata akibat rempuhan itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori telah tercampak keluar dari keretanya yang terbalik sebelum melanggar sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang pelajar berusia 23 tahun.

“Sebuah kereta Proton Wira yang dipandu seorang wanita tidak sempat mengelak dan telah melanggar mangsa yang berada di laluannya.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ridzuan berkata, pemandu lori dan wanita masing-masing berusia 28 tahun dan 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pelajar berkenaan hanya cedera ringan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA