Tak perlu disangkal lagi bahawa kehadiran kucing sememangnya akan menceriakan kehidupan. Dengan telatahnya yang sentiasa nakal dan comel, ia boleh menjadi salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan.
Pun begitu, jarang sekali kita mendengar mengenai kanak-kanak yang terlalu ‘obses’ dengan kucing sehingga sanggup menjaga dan memberi makan kepada berpuluh ekor kucing walaupun mereka masih lagi kecil.
Seperti yang dikongsikan oleh Sue Farahanis di TikTok, anak lelakinya yang baru sahaja berusia 5 tahun tidak boleh berenggang dengan kucing peliharaannya.
Muhammad Nazril Irham atau lebih mesra dipanggil Abang long oleh ibunya itu dikatakan mempunyai ‘jalinan yang erat’ dengan kucing sejak dirinya lahir.
“Lahir-lahir bawak balik rumah, terus kucing hidu-hidu dia, ambil aura abang long,” kata Sue Farahanis ketika dihubungi SK.
Abang long juga suka membawa kucing jalanan balik ke rumah dan dijaga dengan baik.
Dia yang sering memuatnaik video di TikTok mendapat perhatian netizen kerana kasih sayang dan keikhlasan yang ditonjolkan anaknya ketika bersama kucing.
Menurutnya, kucing yang dijaga oleh anaknya agak banyak iaitu kira-kira dalam 20 ekor.
“Dulu lagi banyak tapi ada yang dah mati dan ada yang hilang,” katanya.
Tambahnya lagi, anaknya itu juga sering menemaninya ketika memberikan makanan kucing selepas pulang dari menjual barang, mungkin dari situ ia membuatkan anaknya itu sangat menyayangi kucing.
Sumber: Sue Farahanis