Siakap Keli
Gambar: Bernama

(Video) Peserta Media Meninggal Dunia Ketika Mendaki Bukit Dalam Program Eksplorasi

GERIK, 8 April (Bernama) — Seorang jurugambar berita dari NSTP Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia dipercayai kerana kematian mengejut, sewaktu menyertai sebuah program mendaki di kawasan Pulau Tali Kali, Tasik Banding di sini hari ini.

Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian menimpa mangsa Zulkifly Ab Latif, 41, pada kira-kira pukul 1.27 petang sebelum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian, bagi kerja-kerja menyelamat.

“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Gerik segera ke lokasi kejadian dengan menaiki bot Jabatan Perhutanan, sebaik menerima panggilan mengenai kejadian untuk membawa mangsa keluar ke Jeti Tasik Banding,” katanya kepada Bernama.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood ketika dihubungi berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.

“Jenazah mangsa sedang dibawa keluar untuk dihantar ke Hospital Gerik untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, wartawan Utusan Malaysia Wat Kamal Abas, 48, yang turut menyertai pendakian itu berkata, ketika kejadian mangsa mengadu sesak nafas dan sakit pada dada sebelum muntah serta badannnya menggeletar dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 11.51 pagi.

“Hajat terakhir arwah telah dinyatakan kepada rakan media selepas makan malam semalam, iaitu berhasrat untuk menulis berita tentang Taman Negeri di Kelantan, kerana itu sahaja negeri yang belum sempat arwah jelajah untuk ditulis sebagai pengamal media,” katanya.

Program eksplorasi ekopelancongan selama tiga hari dua malam bermula Selasa lepas itu, disertai seramai 18 orang pengamal media dan mereka sepatutnya pulang dari program itu pada hari ini.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.