Siakap Keli
Kredit: Google

Remaja Lelaki Lemas Ketika Berkelah

KOTA BHARU, 8 April (Bernama) — Perkelahan sekumpulan remaja lelaki bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas di air terjun Istana Sangkut, Laloh di Kuala Krai pada 5.45 petang tadi.

Ketua Balai Bomba Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-rasee Parsimin berkata mangsa, Nur Muhammad Afiq Zubir, 19, dipercayai terjun sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian 2.43 petang.

Beliau berkata mangsa yang berasal dari Bukit Katil, Melaka dipercayai ke tempat rekreasi itu bersama-sama 13 rakannya untuk meraikan kejayaan mereka selepas selesai menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain turut mendapat pertolongan daripada orang kampung.

“Selepas beberapa jam SAR dijalankan, pasukan akhirnya berjaya menarik mangsa yang juga pelajar Maahad Pengajian Islam Kota Bharu, dari dasar setelah baju mangsa tersangkut pada ‘grappling iron’.

“Jenazah diusung sejauh 150 meter dari air terjun berkenaan ke kawasan selamat lalu diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Suzaimi Mohammad mengesahkan kejadian itu dan mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan lain, seorang warga emas maut selepas ditimpa pokok kelapa dalam kejadian di belakang Masjid Kampung Galang, Pulai Chondong di Machang pada 11.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Machang DSP Ganti Jimmy berkata mangsa, Ramli Daud, 69, yang merupakan penebang pokok dipercayai bersama rakannya menarik pokok kelapa yang telah ditebang dan bersedia untuk melarikan diri sebelum pokok tersebut tumbang.

Bagaimanapun, beliau berkata mangsa terjatuh kerana kakinya tersangkut pada tali kemudian ditimpa pokok kelapa berkenaan dan mangsa telah dibawa ke Hospital Machang untuk tindakan lanjut.

Sumber: BERNAMA