Siakap Keli

Rupanya Ini Sebab Katering Tak Muncul Di Majlis Kahwin Tular, Tapi Pengantin Tetap Tak Puas Hati

Beberapa hari lalu, tular mengenai sebuah majlis perkahwinan di Indonesia yang tidak berjalan seperti yang dirancang. Manakan tidak, pihak katering yang sepatutnya menyediakan makanan kepada tetamu didakwa tidak hadir seperti yang dijanjikan walau telah mendapat bayaran penuh.

Menerusi video yang dimuatnaik di Instagram, orang ramai dilihat telah tiba tetapi makanan tidak kelihatan selain meja untuk tetamu juga tidak disiapkan sepenuhnya pada majlis yang diadakan di Bandung pada Sabtu lalu.

Ahli keluarga pengantin yang cemas dengan keadaan itu dilihat membeli makanan bungkus untuk menyelesaikan masalah tersebut tetapi ia juga dipercayai tidak mampu menampung jumlah makanan bagi tetamu yang hadir.

Pengantin perempuan yang dikenali sebagai RN berkata, dia dan keluarganya tidak menemui tanda mencurigakan dari pihak katering berkenaan kerana mereka sempat melakukan ‘food testing’ sebanyak dua kali sebelum menempah makanan.

Malah pada hari kejadian, pemilik katering yang merupakan pasangan suami isteri itu sempat mengirimkan pesanan kepada RN pada jam 10 pagi memberitahu bahawa mereka sudah dalam perjalanan ke majlis sebelum tidak dapat dihubungi lagi.

Setelah tiga hari mendiamkan diri, pemilik katering akhirnya mengirimkan pesanan menerusi WhatsApp pada Isnin dengan menyatakan alasan mereka tidak dapat hadir ke majlis tersebut seperti yang dijanjikan.

Pihak katering berkata bahawa mereka mengalami kemalangan jalan raya sewaktu dalam perjalanan ke majlis tetapi tidak dapat memberikan bukti yang jelas.

Pihak pengantin tidak dapat menerima alasan tersebut kerana tidak terdapat sebarang laporan mengenai kemalangan yang berlaku di sekitar kawasan itu pada hari kejadian.

”Sekiranya mereka mahu menyelesaikan secara baik, sekurang-kurangnya berjumpa dengan saya atau keluarga saya secara terus dan terangkan apa alasan mereka tidak datang.

”Kami hanya mahu dia bersikap jujur, saya bersama suami dan keluarga akan mempertimbangkan tindakan seterusnya,” kata RN.

Sumber: Tribun News

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.