Siakap Keli

Ini 5 Petua Hilangkan Nafas Berbau Lepas Makan Bawang, “Confirm” Tak Segan Lagi

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Perasan tak, setiap kali lepas makan bawang, mesti mulut kita akan mengeluarkan sedikit bau yang begitu aneh. Ianya memang buat kita rasa tidak selesa.

Jadi apakah punca sebenar mulut berbau? Adakah hanya disebabkan bawang semata-mata? Mari ikuti kupasan oleh laman portal kesihatan Hello Doktor di bawah ini.

Mengapa makan bawang boleh menjejaskan bau nafas?

Sesiapa sahaja boleh mengalami masalah bau mulut.

Banyak perkara yang boleh mendasari keadaan tersebut, daripada makanan yang diambil sehinggalah disebabkan oleh faktor kesihatan.

Makanan yang paling biasa menyebabkan masalah nafas yang berbau atau dikenali sebagai halitosis ini adalah bawang, terutamanya apabila dimakan secara mentah.

Tetapi apa yang membuatkan makan bawang nafas menjadi berbau?

Secara umumnya bawang, sama ada bawang putih, merah mahupun besar merupakan keluarga allium. Ia terdiri dalam komposisi dan mengandungi jumlah sebatian sulfur yang sama.

Sebatian sulfur memberikan makanan rasa yang tertentu. Ia juga melepaskan gas khas ketika dipotong atau dihancurkan.

Apabila individu makan bawang, ia akan bercampur dengan bakteria dalam usus yang mengeluarkan gas.

Sebagai sebahagian daripada proses pencernaan, gas tersebut diserap ke dalam aliran darah dan dibawa ke paru-paru yang akhirnya menjadi punca bau nafas tertentu.

Bau yang terhasil daripada bawang ini boleh bertahan dan menyebabkan bau mulut untuk tempoh selama berjam-jam selepas makan.

Memahami tentang bau mulut

Dalam kaedah perubatan, keadaan tersebut dikenali sebagai halitosis, adalah masalah berkaitan kebersihan diri yang memalukan dan tidak ingin dialami oleh sesiapa pun.

Pun begitu, kebanyakan daripada kita tidak dapat elak daripada mengalaminya.

Bau mulut, selalunya berpunca daripada kesan pencernaan makanan.

Faktor lain termasuklah penjagaan kebersihan diri yang buruk, mulut kering, penyakit, jangkitan, penggunaan tembakau dan amalan diet tidak sihat.

Keadaan mulut yang dipenuhi dengan bakteria dan kotor menjadi punca kepada masalah bau mulut.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Hello Doktor

Makanan yang terlekat pada celahan gigi dan garis gusi (gum line) akan menjadi tempat pembiakan bakteria. Apabila tidak dibersihkan, ia juga boleh mengakibatkan bau mulut.

Selain daripada makan bawang, minuman beralkohol juga boleh menjadi punca kepada masalah bau mulut.

Makanan dan minuman tersebut akan menimbulkan bau yang kurang menyenangkan dalam mulut.

Manakala sebahagian daripadanya akan diserap oleh tubuh serta memasuki aliran darah. Kesannya anda akan menghidu bau yang kurang menyenangkan ini melalui paru-paru.

Adakalanya masalah bau mulut boleh menjadi petanda penyakit serius seperti diabetes, kegagalan hati atau penyakit buah pinggang.

Petua hilangkan bau mulut disebabkan makan bawang

Adakah ini bermakna anda harus mengelakkan makanan yang mengandungi bawang agar tidak diselubungi masalah bau mulut?

Sudah tentulah tidak sampai ke tahap itu.

Ini kerana walaupun bawang akan menyebabkan bau yang kurang enak tetapi ia menawarkan manfaat kesihatan yang baik.

Jadi mungkin cara terbaik untuk mengurangkan kesan bau selepas makan bawang adalah dengan mencuba 5 petua berikut.

1. Berus dan flos selepas makan

Sebahagian besar bakteria penyebab bau mulut hidup di bawah garis gusi dan plak pada gigi.

Memberus dan flos selepas makan bawang pastinya dapat menghilangkan bakteria punca bau serta sisa makanan.

Penggunaan berus gigi elektrik boleh membantu memberus di bawah garis gusi dan mengurangkan plak.

Ini sekali gus menjadikan nafas lebih segar untuk jangka masa yang lebih lama.

Selain itu, penggunaan berus gigi jenis ini mampu memberus bahagian lelangit dan lidah dengan lembut serta jauh ke dalam mulut.

Pun begitu, tidak mengapa jika anda hanya menggunakan berus gigi pakai buang. Cuma pastikan anda memberus selama 2 minit, okay?

2. Membersihkan lidah

Gambar: Hello Doktor

Anda rasa cukup ke dengan hanya memberus gigi dan flos sahaja untuk mengurangkan masalah bau mulut?

Sebenarnya, tidak. Ini kerana lidah juga merupakan tempat pembiakan bakteria, sel mati dan sisa makanan.

Jadi untuk membantu mengatasi masalah nafas berbau, anda juga perlu menggunakan berus gigi atau pembersih lidah – sejenis alat khas – untuk memberus lidah.

3. Makanan hasilkan bau segar

Selepas anda makan bawang putih, cuba makan epal sebagai pencuci mulut atau kunyah daun pudina segar.

Kajian menunjukkan bahawa bahan kimia dalam epal, daun salad atau pudina, sama ada secara segar atau dipanaskan dapat membantu menghilangkan bau bawang tersebut.

4. Mengunyah gula-gula getah

Gula-gula getah atau chewing gum, boleh membantu meneutralkan nafas yang berbau kesan makan bawang putih untuk sementara waktu.

Ia juga dapat mengurangkan refluks asid, yang dapat menyingkirkan kesan larutan bawang setelah proses pencernaan.

5. Minum teh hijau

Jika anda kesuntukan masa atau tidak mempunyai tempat sesuai untuk menggosok gigi, anda boleh minum secawan teh hijau panas selepas makan untuk mengurangkan bau sementara anda dapat memberus gigi.

Gambar: Hello Doktor

Berdasarkan satu kajian, 15 peserta menggunakan ubat kumur catechin teh hijau dan mendapati ia setanding dengan ubat kumur antiseptik untuk keberkesanan antiplak.

Manakala dalam kajian tabung uji yang berbeza, teh hijau dan ubat gigi dikatakan lebih berkesan berbanding minyak pasli, gula-gula getah dan pudina dalam mengurangkan bau mulut.

Cuba dan lihat hasilnya

Mulut berbau bawang bukanlah satu keadaan yang akan kekal selamanya walaupun ia mungkin mengambil masa lama untuk hilang.

Anda boleh bereksperimen dengan petua hilangkan bau mulut di atas untuk melihat tip yang mana berkesan dan sesuai dengan diri. Selamat mencuba!

Sumber: Hello Doktor

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'