Siakap Keli

Adakah Ini Takdir Yang Tertulis?

Benarkah cinta itu sudah tertulis? Adakah ianya mitos dan sandiwara? Tahun 2020, penularan virus  berbahaya yang telah mengubah kehidupan hampir setiap nyawa di planet biru bagaikan butang reset di  tekan. Kenapa ianya bukan virus cinta? Alangkah lebih baik kalau virus cinta itu yang tersebar di seluruh  dunia, setiap insan pasti angau dan berada di awang-awangan termasuk aku si gadis gempal yang  pendiam tapi sering menjadi tumpuan mata yang memandang dengan niat ingin berkenalan lebih rapat. 

Hahaha, maaf tapi anda semua bukan sama kelas dengan aku. Bukan memilih, tetapi ia sememangnya  mustahil. Pilihan pasangan yang aku cari mestilah kacak, berbadan sado, pandai berenang dan vegetarian  seperti aku. Siapa kata gempal tidak boleh mempunyai cita rasa yang tinggi? Siapa kata Erra Fazira sahaja  boleh menjadi heroin seperti dalam cerita Cinta Kolestrol. 

Sejak virus itu melanda keseluruh pelusuk dunia pada penghujung tahun 2019, tempat yang aku diami  sekarang menjadi suram hari demi hari. Tiada gelak tawa dan tiada riang gembira, sepi bagaikan padang  sahara. 

Dulu, Bandar Hipster ini menjadi tumpuan orang ramai yang memburu makanan tempatan seperti Nasi  Ganja dan Ayam Taugeh. Taugeh di pekan ini tumbuh dengan sihat dan besar di sebabkan air  semulajadinya yang beralkali tinggi. Struktur geo-nya yang dikelilingi bukit batu kapur adalah punca  pertama mengapa aku berpindah ke sini dari benua asal ku, 4,675 batu dari sini. 

Sebelum sepi dan sunyi pekan ini, aku sentiasa berhajat untuk merawat hati yang telah lama kosong.  Bukan hobi ku mencari kekasih seperti budak-budak milenium dengan aplikasi temu janji di alam maya  mereka. Aku mencari siapakah sang putera yang bakal hadir ke dalam hati luka dan lara ini. 

Setiap malam aku bertanya sang purnama bilakah bintang hajat akan merialisasikan impian daku. Pada  suatu hari, si baju hijau membawa berita yang terindah bagiku. Desas-desus mengatakan bahawa, ada  penghuni baru yang akan berpindah masuk ke kerajaan ku tidak lama lagi. Ura-ura mengatakan si  penghuni baru ini memenuhi kriteria idamanku. Kacak, sado, pakar selam dan juga vegetarian sepertiku. 

Saban hari aku menunggu kehadiran penghuni baru, hati yang meronta-ronta ini semakin lama semakin  perlahan kerana yang dinantikan tidak kunjung tiba. Ku bertanya sang rembulan, adakah ia sekadar  khabar angin atau mitos? Dimanakah sang putera hati ku? 

Bulan pertama tahun 2021, hari yang bersejarah buatku dan penduduk pekan bersara ini. Ia bukan lagi  mitos atau sandiwara. Sang putera hati akhirnya tiba, memperkenalkan dirinya dengan nama Jiwang.  Juga berasal dari benua yang sama tempat asalku, kacak, berbadan sado dan merupakan mamalia paling  kuat di bumi biru ini. 

Aku perkenalkan diriku kepadanya sebagai Juwita nama yang diberi. Mempunyai minat yang sama dan  ingin mengenalnya lebih lanjut lagi. Dia tersenyum dan tunduk tanda setuju sambil memberikan buah  tembikai kepada ku. Diri ini bagaikan dibuai mimpi, rama-rama menari di dalam hati. Indah sungguh  perasaan ini. Semoga ia kekal abadi. 

Apakah episod seterusnya kisah kami selepas pertemuan yang pertama? Mungkinkah cinta akan  bersemi? Adakah ia takdir yang tertulis bagi pasangan semi-akuatik ini? Anda boleh menjadi saksi kisah  cinta Jiwang & Juwita di Sunway Lost World Of Tambun pada Syawal 2021 ini.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa