Siakap Keli
Gambar: Bernama

14 Pendaki Sesat Di Gua Kelam Tiga

PADANG BESAR, 13 April (Bernama) — Empat belas pendaki dari dua buah kelab rekreasi tempatan terperangkap lebih 20 jam di Gua Kelam Tiga di sini sejak petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata 14 pendaki itu terdiri daripada 10 lelaki dan empat orang perempuan merupakan warga tempatan.

“Kita difahamkan 11 orang pendaki mula memasuki Gua Kelam Tiga pada 11 pagi semalam bersama sekumpulan pendaki dari sebuah politeknik, namun mereka (11 pendaki) memilih jalan berbeza menyebabkan terpisah dari kumpulan pendaki politeknik.

“Pada 10 malam, tiga orang lagi pendaki yang menghantar makanan kepada rakan mereka turut sesat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata polis menerima laporan awal pada 6.50 pagi dan berjaya mengenal pasti lokasi pendaki apabila berjaya menghubungi mangsa yang sesat pada 9.30 pagi tadi.

“Kita telah lancar operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.00 pagi yang dianggotai 18 orang daripada Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Malaysia (JPM) dan pemandu arah,” katanya.

Saifudin berkata maklumat awal yang diperoleh mendapati bahawa semua mangsa dalam keadaan selamat dan hanya mengalami keletihan dan luka-luka kecil.

“Kita terpaksa mengambil masa yang agak panjang untuk membawa keluar semua mangsa berikutan keadaan gua dan mungkin akan mengambil masa lapan hingga 10 jam,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal juga mendapati bahawa semua mangsa masuk ke gua itu tanpa kebenaran pihak JPM dan mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 dan boleh dikompaun.

Saifudin menasihati orang ramai yang ingin terlibat dalam aktiviti mendaki atau memasuki hutan agar mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.