Siakap Keli

“Cukuplah Allah…”, Ustazah Asma’ Sebak, Ibu Tunggal Tiada Apa-apa Tekad Infaq Gelang Emas Untuk Kerja Kebajikan

Umat Islam digalakkan untuk sentiasa bersedekah, apatah lagi ketika dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Pernah dengarkan, sebaik-baik pemberian (sedekah) adalah memberi apa yang kita paling sayang.

Demikianlah yang terjadi seperti yang dikongsikan oleh pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun (UAH) apabila dia bertemu dengan seorang ibu tunggal yang sanggup mengorbankan hartanya di jalan kebajikan.

Nak tahu apa yang berlaku di sebalik pertemuan ini, jom ikuti perkongsian UAH di bawah ini.

Air mata 1 Ramadan

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Pagi-pagi saya ke pejabat hari ni, daripada jauh lihat seseorang yang dikenali melambai. Seorang wanita yang sangat kuat dan hebat, ibu tunggal, suaminya pergi menghadap Ilahi ketika usia 30an. Masih muda, terlalu awal meninggalkan dia & anak-anak yang masih kecil.

Beberapa ketika kami berbual, beliau memang seperti selalu, sebak menangis sahaja. Katanya, kalau jumpa saya, mesti rasa sayu dan menangis. Saya faham, banyak beban yang beliau tanggung seorang diri.

Selepas itu, tiba-tiba beliau membuka 1 gelang emas yang dipakainya, terus diserahkan di tangan saya. Beliau Betul-betul nekad.

“Ustazah, ini gelang kesayangan, saya tiada simpanan duit cash, gelang ini biasa saya akan pajak gadai bila memerlukan duit untuk biaya anak belajar dan apa² keperluan,”

Bertambah berat saya nak terima, “Kak, jangan begini, kami terima apa sahaja bentuk sumbangan walaupun kecil, gelang ni sangat besar jumlahnya, inikan untuk backup akak dan anak-anak,” (berat 28.1 – nilai hampir 6k)

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Sungguh ketika ni saya dah mengalirkan air mata, sebab saya tahu kisahnya, bagaimana struggle beliau untuk memberikan kehidupan dan pendidikan yang baik buat anak-anak.

Saya menangis bukan kerana terharu dapat infaq gelang, tapi pada hatinya yang luar biasa. Memberi bukan kerana ada, tapi kerana cinta.

Kemudian beliau berkata sesuatu yang terus membuatkan hati terkesima dan tertampar,

“Ustazah, tolonglah ambik, bukan gelang ni yang mencukupkan keperluan saya dan anak-anak, tapi Allah, bukankah Allah suka kita beri apa yang kita sayang, saya yakin Allah akan gantikan dengan sesuatu yang jauh lebih baik, cukuplah Allah jaga anak-anak saya.. 1 Ramadhan jadi saksi, moga Allah terima pemberian saya ni…”

“Ustazah, akak follow usaha-usaha dakwah dan kebajikan ustazah, tim dan NGO SAC . Akak tak boleh nak bersama turun padang, moga sedikit infaq ni boleh jadi saksi sumbangan untuk jalan dakwah ini.”

Gambar: Ustazah Asma’ Harun

Allahu Akbar, terus saya bacakan firman Allah swt di dalam al-Quran:

Firman Allah SWT:

لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ

Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi.” (Surah Ali Imran, 92)

Sambung saya, “Kak, semoga Allah gantikan dengan gunung-gunung emas di syurga kelak, Allah limpahkan rezeki barakah sentiasa mengalir seperti air zamzam, Allah berikan segala yang akak dan anak-aka perlukan di dunia dan akhirat,”

Kami sama-sama menangis di pagi 1 Ramadan, saya sendiri seolahnya ditegur oleh Allah swt melalui insan yang istimewa untuk berikan saya pengajaran yang berharga.

SEMOGA BERMANFAAT DUNIA AKHIRAT,
SILAKAN SHARE.

ASMA’ BINTI HARUN
Pengasas bersama & penaung NGO Sahabat Amal Care

Sumber: Facebook Ustazah Asma Harun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'