Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Lelaki Ceroboh Dan Mencuri Di Masjid, Dipenjara Lima Bulan

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — Padah menceroboh dan mencuri di sebuah masjid, seorang lelaki yang mempunyai tujuh rekod jenayah, dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini.

Majistret Nur Hafizah Rajuni menjatuhkan hukuman itu ke atas  Sharuddin Nazardin, 42, selepas dia mengaku bersalah menceroboh dan mencuri di Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga Batu 18, Rawang, Selangor antara 12.15 dan 12.30 tengah malam, 6 April lepas.

Sharuddin dijatuhi hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan menceroboh manakala penjara lima bulan untuk pertuduhan mencuri, namun mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 11 April lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menceroboh dengan memasuki dalam kawasan masjid berkenaan dan naik ke atas atap masjid sementara itu bagi pertuduhan kedua Sharudin didakwa mencuri sebuah telefon bimbit, lima helai baju pagoda, 10 helai seluar, satu beg silang, tiga peranti bebas tangan dan wang tunai RM150 milik kakitangan masjid itu yang keseluruhannya bernilai RM700.

Pertuduhan pertama adalah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau dengan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sementara pertuduhan kedua adalah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda.

Mengikut fakta kes, pada masa kejadian tertuduh telah masuk ke kawasan masjid dengan cara memanjat ke atas bumbung dan memecahkan atap masjid.

Tertuduh juga telah masuk ke dalam sebuah bilik kabin masjid tersebut semasa pengadu sedang tidur dan telah mencuri barang-barang seperti mana dalam pertuduhan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman berbentuk denda yang ringan dengan alasan dia menanggung ibu bapanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azahar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dengan alasan tertuduh mempunyai tujuh rekod jenayah sejak 2015.

“Sebelum ini tertuduh pernah dihukum bagi pelbagai kesalahan antaranya curi dan dadah,” katanya.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.