Siakap Keli

Padah Jalin Hubungan Terlarang, Acheh Hukum Pesalah Zina Dengan Sebat 100 Kali

Gara-gara terpesong jauh setelah menyulam perasaan yang membuak dalam dada, ‘perjalanan’ cinta yang terbina antara dua insan ini akhirnya tersungkur di pentas pengadilan.

Sanggup ‘menduakan’ isteri di rumah, seorang lelaki penjawat awam berusia 43 tahun di Banda Aceh, Indonesia ini dikatakan berani ‘makan luar’ untuk  menjalin hubungan terlarang dengan seorang ‘makcik cleaner’ yang seusia dengannya.

Dan lebih malang, si lelaki penjawat awam itu rupa-rupanya suami orang, manakala si makcik cleaner itu pula merupakan isteri orang. Kedua-duanya sudah berkahwin, sudah berkeluarga dan dipercayai mungkin memiliki anak sendiri.

Namun itulah yang biasa orang kata, cinta itu buta. Daripada bertentang mata, bertukar menjadi cinta. Dari cinta di hati, nafsu membuak-buak tak terhenti-henti. Maka terjadilah curang dan akhirnya membawa kepada zina yang ‘lena’.

Namun ‘keasyikan’ hubungan ini gagal untuk ‘terbang’ lebih jauh apabila kegiatan haram mereka ini berjaya dihidu pihak berkuasa agama di wilayah berkenaan. Manakan tidak, Banda Aceh satu-satunya wilayah di sana yang dipercayai mengamalkan sistem perundangan Islam.

Sudahnya mereka berdua ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Perbicaraan kes dijalankan di Mahkamah Syariah Kuala Simpang dan keputusan hakim pada 22 Mac lalu memutuskan bahawa mereka dijatuhkan hukuman sebat sebanyak 100 kali.

Tiba di hari pengadilan

Hampir sebulan menanti, maka pada Isnin baru-baru ini, sesi hukuman pun tiba dan mereka berdua dibawa ke Pusat Islam Aceh Tamiang untuk disebat. Tidak dapat disangkal lagi, sebatanlah antara hukuman paling ditakuti oleh mana-mana pesalah jenayah.

Tepat pada masanya, si lelaki penjawat awam dan si makcik cleaner ini pun menerima hukumannya masing-masing. Boleh bayangkan sendiri, bagaimana rotan yang tebal itu menghinggap ganas di permukaan punggung.

Difahamkan, walaupun terpaksa menahan sakit disebat berkali-kali, namun kedua-dua mereka reda dan mengaku bersalah atas kesilapan yang dilakukan. Malah dikatakan ada kalanya mereka meminta tukang sebat itu berhenti sebentar untuk ‘menarik nafas’ sebab terlalu sakit.

Ketika sedang perit dan berbaki kira-kira 20 lagi sebatan, si lelaki itu tidak tahan lagi dan terus mencangkung dan meminta air untuk diminum. Apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Menangislah air mata darah sekalipun, salah tetap dikira salah dan hukuman mesti diteruskan.

Akhirnya hukuman sebatan mencapai angka ke 100 kali dan sesi tersebut berakhir dengan lancar. Kedua-dua pasangan yang curang serta berzina ini disiasat dan didapati bersalah di bawah Seksyen 37 (1), (2) dan (3) Kanun Aceh 6/2014, Akta Jenayah.

Sumber: Tribun Sumsel

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'