Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Ramai Tak Tahu, Elak 5 Minuman Ini Ketika Sahur Kalau Tak Nak Haus Di Siang Hari

Sewaktu berpuasa, badan kita akan lebih mudah haus daripada merasa lapar. Kadang-kala tak tertahan rasa ditambah dengan cuaca yang terik. Tetapi, tahukah anda rasa haus yang dialami tersebut mungkin berpunca daripada minuman yang  dipilih sewaktu bersahur.

Menerusi perkongsian oleh Hello Doktor, terdapat minuman yang perlu kita elakkan jika tidak mahu menanggung rasa haus sepanjang berpuasa. Ini penting kerana ketika berpuasa tubuh tidak mendapat bekalan cecair secukupnya, jadi kita perlu lebih berhati-hati memilih minuman ketika sahur.

Berikut merupakan minuman yang perlu dihindari ketika sahur supaya tidak merasa haus sepanjang hari. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil terutamanya, penting mengaplikasikan tips ini agar anak yang baru mula berlatih puasa bertenaga sepanjang hari.

1. Kopi

Bagi peminat kopi, menikmati kopi ketika bersahur mungkin satu kemestian yang tidak dapat ditinggalkan. Sedangkan kopi sebenarnya membuatkan anda berasa lebih cepat haus kerana kandungan kafein bersifat diuretik, menyebabkan anda kencing lebih kerap, lantas mengurangkan kandungan cecair dalam badan.

Kafein juga mempercepatkan proses dehidrasi dalam badan. Lebih banyak kopi yang anda minum, lebih haus akan anda rasa. Jadi, lebih baik mengurangkan pengambilan kopi seboleh mungkin untuk mencegah ketidakstabilan disebabkan kehilangan cecair tubuh.

2. Teh

Teh yang hangat dalam kesegaran waktu sahur mungkin kedengaran sangat menyenangkan. Tetapi, sepertimana kopi, teh juga mengandungi kafein, bahkan tambahan kandungan gula yang anda letakkan menyerap bekalan air dalam badan dan membuat anda berasa lebih dahaga ketika berpuasa.

3. Minuman Berkarbonat

Sewaktu bersahur, elakkan pengambilan minuman berkarbonat. Selain mempunyai kandungan gula yang tinggi, yang boleh menyebabkan rasa haus, ia juga boleh menyebabkan masalah pencernaan, dan menyebabkan perut anda kembung, dan mengganngu sistem pencernaan.

4. Minuman Tenaga

Kerisauan tentang keselamatan minuman tenaga menyebabkan Denmark, Norway dan Perancis mengharamkannya. Minuman tenaga patut dielakkan kanak-kanak, wanita hamil dan menyusu serta mereka yang sensitif kepada kafein. Jika anda mengambil minuman tenaga amalkan tip berikut untuk mengelakkan risiko dehidrasi:

  • Ikut arahan label. Jangan minum lebih daripada saranan. Kebanyakan pengeluar menetapkan pengambilan maksimum satu atau dua tin (250 to 500 ml).
  • Beri perhatian kepada saiz hidangan. Terdapat minuman tenaga yang didatangkan dalam tin yang lebih besar seperti 473-ml. Tin yang lebih besar bermakna lebih kafein, gula dan kandungan herba.

5. Jus buah

Jus buah adalah sihat juga menyegarkan. Tetapi pengambilan jus buah dalam tin atau kotak sewaktu sahur, mungkin menambah rasa dahaga anda. Ini kerana kebanyakan jus buah dibuat dengan tambahan gula atau pemanis lain. Lebih baik mengambil buah sedia ada seperti pisang, strawberi, atau kurma yang boleh memberi rasa kenyang yang lebih lama.

Saranan ini bukanlah bermakna anda perlu berhenti serta-merta tetapi kawal dan hadkan pengambilan untuk mengelakkan kesan buruk kepada kesihatan anda sewaktu berpuasa.

Jelasnya, elakkan pengambilan kafein dan gula berlebihan. Minuman bergula dipercayai menggalakkan persekitaran asidik yang boleh mengganggu fungsi enzim dan mengurangkan kapasiti penyimpanan air dalam badan yang diperlukan untuk metabolisma sebarang gula berlebihan dalam sistem badan.

Walaupun pengambilan air sangat disyorkan untuk mengelakkan badan daripada dehidrasi, minum terlalu banyak air ketika makan sahur juga tidak digalakkan kerana menyebabkan kembung, sehingga senak.

Sumber: Hello Doktor

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.