Siakap Keli
kerajaan tidak akan biar rakyat ikat perut
Gambar hiasan via Bernama

Tujuh Jajahan Di Kelantan Dikenakan PKP Mulai 16 Hingga 29 April

KUALA LUMPUR, 14 April – Tujuh kawasan di Kelantan yang terdiri daripada jajahan/daerah di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 16 hingga 29 April ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di Kelantan dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes, dan kesemua tujuh jajahan/daerah itu berada dalam Zon Merah.

“Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan PKP ini bertujuan memastikan pergerakan penduduk di lokaliti berkenaan dapat dikawal bagi mengelakpenularan jangkitan COVID-19 ke kawasan lain.

“Sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan sempadan negeri. Semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan oleh kementerian/agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP. Pelaksanaan PKP daerah-daerah ini akan mengikut SOP Am Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikemas kini pada 26 Feb 2021,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud di Sabah dan tiga lokaliti di Muadzam Shah, Pahang iaitu Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi pula dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) mulai esok hingga 28 April ini.

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan memudahkan Kementerian Kesihatan membuat pengesanan awal kes disyaki COVID-19 serta kontak rapat supaya dapat diasingkan secepat mungkin selain menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke kawasan lain luar dari lokaliti itu,” katanya.

Menurutnya PKPD di Kampung Juara, Pulau Tioman, Rompin, Pahang akan ditamatkan esok, lebih awal daripada yang dijadualkan pada 20 April.

Sementara itu Ismail Sabri berkata 42 individu ditahan kerana ingkar SOP PKPB dan PKPP semalam, dengan 35 dikenakan kompaun, dan tujuh direman.

Bagi kawalan sempadan negara pula, menurutnya lima pendatang tanpa izin ditangkap dan lima kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng semalam.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang