Siakap Keli
Gambar kredit: Okezone lifestyle

Boleh Ke Beriktikaf Hanya Di Rumah? Ini Penjelasan Mufti WPKL

Beriktikaf di masjid dan surau pada 10 malam terakhir Ramadhan adalah amat digalakkan. Pada malam-malam tersebut, rumah Allah akan dihuni oleh penghuni yang berusaha mengejar malam lailatul qadar. Tambahan pula, amal ibadat yang dilakukan akan dibalas dengan pahala yang digandakan.

Namun sekarang zaman pandemik Covid-19, masjid dan surau ditutup pada waktu malam dan hanya dibuka ketika menjelang solat subuh. Ini berikutan usaha untuk mengurangkan penyebaran covid-19. Jadi, bolehkah kita melakukan iktikaf di rumah sebagai ganti iktikaf di masjid?

Untuk mengetahuinya lebih lanjut, ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Keutamaan beriktikaf

Terdapat banyak riwayat yang menjelaskan akan keutamaan beriktikaf, antaranya riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma di mana beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.

Sahih al-Bukhari (2025)

Diriwayatkan juga daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Maksudnya: Adalah baginda S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.

Sahih Muslim (1172)

Berdasarkan dalil-dalil ini, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan hukum beriktikaf ialah sunnah mu’akkadah (yang sangat dituntut). Ianya disunatkan pada keseluruhan waktu manakala pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan ia lebih dituntut. Dengan tujuan untuk mengikut petunjuk Nabi S.A.W dan mencari Lailatul Qadr. (Rujuk Raudhah al-Tolibin 2/389)

 

Adakah beriktikaf hanya di masjid?

Menurut pandangan mazhab Syafi’e, antara rukun iktikaf hendaklah ianya dilakukan di dalam masjid. Apabila iktikaf tidak dilakukan di dalam masjid maka ianya tidak sah kerana telah meninggalkan satu rukun. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تُبَٰشِرُوهُنَّ وَأَنتُمۡ عَٰكِفُونَ فِي ٱلۡمَسَٰجِدِ

Maksudnya: Dan janganlah kalian bersetubuh dengan isteri-isteri kalian dalam keadaan kalian sedang beriktikaf di dalam masjid.

Surah al Baqarah (187)

وَعَهِدْنَا إلَى إبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَنْ طَهِّرَا بَيْتِي لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ

Maksudnya: Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya)

Surah al-Baqarah (125)

Ini juga berdasarkan petunjuk Nabi SAW yang mana Baginda tidak beriktikaf melainkan hanya di dalam masjid. Kata Imam al-Nawawi:

لا يصح الاعتكاف من الرجل ولا من المرأة إلا في المسجد، ولا يصح في مسجد بيت المرأة ولا مسجد بيت الرجل، وهو المعتزل المهيأ للصلاة، هذا هو المذهب، وحكى الخراسانيون وبعض العراقيين فيه قولين: (أصحهما) وهو الجديد هذا، (والثاني) وهو القديم: يصح اعتكاف المرأة في مسجد بيتها

Maksudnya: Tidak sah iktikaf seorang lelaki mahupun wanita kecuali di masjid, dan tidak sah iktikaf mereka di ruang solat di rumah; dan inilah pandangan muktamad dalam mazhab (Syafi’e). Para ulama Khurasan dan sebahagian ulama Iraq menyatakan di sana terdapat dua qaul: yang lebih sahih ialah qaul jadid iaitu tidak sah iktikaf melainkan di masjid; qaul kedua pula iaitu qaul qadim menyatakan sah iktikaf seorang wanita di ruang solat di rumah mereka. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 6/480)

Daripada kata-kata Imam al-Nawawi ini menunjukkan meskipun pandangan muktamad ialah ianya tidak diharuskan, namun ia mengisyaratkan bahawa tidak berlaku ijmak dalam permasalahan ini.

Gambar Kredit: Abangkacak.com

Kata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani:

وَاتَّفَقَ الْعُلَمَاءُ عَلَى مَشْرُوطِيَّةِ الْمَسْجِدِ لِلِاعْتِكَافِ إِلَّا مُحَمَّدَ بْنَ عُمَرَ بْنِ لُبَابَةَ الْمَالِكِيَّ فَأَجَازَهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَأَجَازَ الْحَنَفِيَّةُ لِلْمَرْأَةِ أَنْ تَعْتَكِفَ فِي مَسْجِدِ بَيْتِهَا وَهُوَ الْمَكَانُ الْمُعَدُّ لِلصَّلَاةِ فِيهِ وَفِيهِ قَوْلٌ الشَّافِعِي قديم وَفِي وَجْهٍ لِأَصْحَابِهِ وَلِلْمَالِكِيَّةِ يَجُوزُ لِلرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ لِأَنَّ التَّطَوُّعَ فِي الْبُيُوتِ أَفْضَلُ

Maksudnya: Para ulama telah bersepakat akan disyaratkan iktikaf di masjid, kecuali Muhammad bin Umar bin Lubabah – ulama mazhab Maliki – yang mengharuskan iktikaf di semua tempat; para ulama Hanafiyyah pula mengharuskan bagi wanita untuk beriktikaf di ruang solat di rumahnya, dan pada isu ini terdapatnya qaul qadim dalam mazhab Syafi’e satu wajah pendapat di sisi ulama Syafi’eyyah, manakala ulama Malikiyyah mengharuskan iktikaf di rumah kerana ibadat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah. (Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari 4/272. Turut dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dalam Nail al-Autor 4/317)

Atas asas inilah Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qaradaghi telah mengeluarkan fatwa dalam isu ini, dan antara lain isi kandungan fatwa tersebut menegaskan bahawa:

1. Harus bagi wanita untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala, khasnya ketika masjid-masjid tidak dibuka untuk iktikaf.

2. Harus bagi lelaki untuk iktikaf di ruang solat di rumahnya di negara-negara yang masjidnya tidak dibuka untuk solat dan beriktikaf, dan dia memperoleh pahala iktikaf dengan izin Allah Ta’ala.

Adapun di negara di mana masjid kekal dibuka, maka tidak diharuskan untuk beriktikaf selain di masjid, bahkan lebih adhal untuk beriktikaf di masjid jami’ yang didirikan solat Jumaat padanya.

Fatwa ini dikeluarkan atas beberapa pertimbangan, antaranya ialah:

  • Wujudnya pandangan-pandangan fiqh yang menyokong, maka ia bukan merupakan perkara ijmak yang tsabit secara qath’ie.
  • Ibadah iktikaf merupakan ibadah sunat yang dibina di atas prinsip taysir (meringankan), dan tidak terlalu ketat syaratnya berbanding ibadah fardhu.
  • Ibadah iktikaf berbeza dengan solat Jumaat, di mana ia tidak semestinya dilakukan secara berjemaah, bahkan tidak disyaratkan adanya individu lain bersama orang yang beriktikaf.

Namun Syeikh turut mengingatkan agar iktikaf di rumah tetap memelihara syarat-syarat serta dhawabit iktikaf, iaitu:

  • Hendaklah kekal di ruang khas tersebut dan tidak keluar melainkan untuk keperluan, dan segera kembali setelah selesai.
  • Niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT, dengan keazaman untuk menyucikan jiwa beserta taubat dan ketundukan kepada-Nya, serta penyesalan atas dosa-dosa.
  • Tidak melakukan persetubuhan antara suami dan isteri.
  • Menyibukkan diri dengan tilawah al-Quran, zikir, solat, tasbih dan seumpamanya. [1]

Hal yang hampir sama turut dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Abd al-Sami’, Setiausaha Fatwa bagi Dar al-Iftaa al-Misriyyah yang menyatakan bahawa diharuskan bagi wanita untuk beriktikaf di ruang solat di rumahnya, manakala bagi lelaki yang sering melazimi iktikaf pada bulan Ramadhan sebelumnya dan berniat iktikaf pada tahun ini, inshaAllah dia akan memperoleh pahala iktikaf yang sama seolah dia beriktikaf di masjid.[2]

Namun demikian, hukum keharusan iktikaf di rumah ini hanyalah bersifat sementara, iaitu diharuskan selagi mana masjid-masjid dan surau-surau diri Jumaat masih lagi tidak dibuka untuk beribadah kepada masyarakat awam. Kaedah fiqh menyebut:

الحاجة تقدر بقدرها

Maksudnya: Suatu keperluan itu diraikan mengikut kadarnya.

Adapun setelah keadaan kembali stabil, penularan virus Corona berjaya dibendung dan masjid kembali dibuka, maka perlulah kembali kepada hukum asal, iaitu iktikaf hanya di masjid dan di surau diri Jumaat.

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa hukum asal iktikaf menurut majoriti ulama ialah di masjid, sama ada bagi lelaki atau wanita. Namun dalam keadaan sekarang, di mana masjid dan surau terpaksa ditutup untuk membendung penularan wabak Covid-19 ini, maka diharuskan untuk beriktikaf di ruang khas di rumah untuk beribadat berdasarkan pandangan qaul qadim mazhab Syafi’e, beberapa pandangan daripada mazhab lain serta fatwa ulama kontemporari.

Ini membuka ruang kepada umat Islam untuk menambah ruang untuk beramal dan menggandakan pahala, terutamanya pada bulan Ramadhan yang mulia dan diberkati ini.

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh,

unit Buhuth

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Fatimah MN