Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

TNB Nasihat Pemilik Premis Tukar Nama Akaun Elak Tanggung Bil Penyewa

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pemilik premis untuk menukar nama pemilik akaun (pengguna berdaftar) kepada nama penyewa premis melalui proses Change of Tenancy (COT) agar penyewa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bil elektrik.

TNB memaklumkan melalui langkah itu, pemilik premis dapat mengelak daripada menanggung tunggakan bil elektrik yang ditinggalkan penyewa sekiranya berlaku, dengan permohonan pertukaran nama perlu dilaksanakan oleh penyewa premis yang akan menandatangani kontrak baharu dengan TNB.

“Urusan pertukaran nama ini boleh dilakukan melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau dengan mengunjungi Kedai Tenaga yang berdekatan. Langkah-langkah dan dokumen sokongan yang diperlukan bagi tujuan permohonan pertukaran nama boleh diperoleh di portal myTNB,” menurut TNB dalam kenyataan.

TNB turut memaklumkan sekiranya penyewa telah berhenti menyewa premis, pemilik boleh menukar nama pemegang akaun kepada penyewa baharu atau kembali ke nama pemilik asal, sekiranya tidak menyewakan lagi premis tersebut.

Malah apabila berlaku pertukaran nama pengguna berdaftar daripada pemilik premis kepada penyewa, sebarang permohonan pemotongan bekalan bagi tujuan menamatkan akaun dengan TNB hanya akan diterima daripada pengguna berdaftar sahaja, menurut kenyataan itu.

TNB turut menyediakan perkhidmatan menerusi portal dan aplikasi myTNB agar pemilik premis dapat memantau corak penggunaan dan pembayaran bil bulanan penyewa dengan lebih mudah selain membolehkan mereka memastikan pembayaran bil sentiasa dibuat oleh penyewa.

Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 1300-88-5454, e-mel ke [email protected] atau menerusi Facebook TNB CareLine bagi sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan TNB.

— BERNAMA