Siakap Keli
Gambar: Natipah Abu

Van Terbakar, Bisnes Lingkup & Anak Pula Hidap Kanser, Peritnya Hidup Si Ayah OKU Ini Perlukan Bantuan RM 5 Ribu Dari Kita Semua

Pagi Jumaat pertama di bulan Ramadan ini kita ‘disajikan’ dengan satu kisah yang sangat menyayat hati. Kisah seorang ayah yang telah banyak kali ‘terduduk’ dek teruji dengan satu demi satu ujian.

Ditakdirkan menjadi OKU selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya, si ayah ini diuji pula dengan jatuh bangun sakitnya berniaga di jalanan demi sesuap nasi untuk insan tersayang yang menanti di rumah.

Malah, di sebalik penat melihat arah hidup yang bersimpang-siur, kesabarannya terduga sekali lagi apabila anak perempuannya pula disahkan menghidap sakit kronik – yang sudah tentu menuntut perbelanjaan yang besar.

Sampai masa, hatinya kelu untuk berbuat apa-apa. Terduduk, diam tanpa bicara. Namun hadirnya aktivis jalanan Natipah Abu ibarat satu jalan keluar. Mari kita ikuti kisah Encik Buyamin dan keluargnya di bawah ini.

Sedekah Jumaat | Memperbaiki van niaga, keperluan RM5,000

Sumbangan: Maybank Natipah Abu 552107617521

Gambar: Natipah Abu

Sedekah Jumaat kita hari ini diakad untuk sama-sama membantu seorang ketua keluarga yang bertanggung-jawab menyara isteri dan empat orang anak yang masih kecil.

Encik Mohd Buyamin Bin Samsudin, 43 tahun merupakan seorang pemegang kad OKU fizikal akibat satu kemalangan jalanraya yang menimpanya.

Beliau mencari rezeki dengan berniaga menjual air balang di pasar malam. Bila tiba musim cuti sekolah, rezekinya berlipat ganda kerana air balangnya selalu mendapat tempahan dari tuan rumah yang menganjurkan majlis perkahwinan.

Bagaimana pun .. tahun 2018, beliau berhadapan dengan kegetiran hidup yang bukan kepalang bila anak keduanya yang pada ketika itu berusia 3 tahun disahkan mengidap kanser darah dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Besar Pulau Pinang sehinggalah ke hari ini.

Gambar: Natipah Abu

Pandemik melanda .. beliau tidak lagi dapat menjual air balang di pasar malam. Bahkan air balang tidak lagi ditempah untuk sebarang majlis perkahwinan atau keramaian seperti dulu lagi.

Encik Buyamin benar-benar ‘terduduk’ kerana hilang satu-satunya sumber pendapatannya selain wang Elaun Pekerja Cacat (EPC JKM) RM450 sebulan.

Encik Buyamin kemudiannya mengambil keputusan untuk berniaga ais batu pula. Menjual ais batu kepada peniaga-peniaga warung dan gerai makan.

Dengan van buruknya … dia bergerak mengedar ais batu kepada pelanggan. Pendapatannya sebagai penjual ais tidaklah seberapa. Ais dibeli secara tunai di kilang tetapi kebanyakan pelanggannya berhutang bila membeli dari dia.

Dalam tempoh setahun menjual ais batu ini, ada beberapa orang pelanggannya terpaksa tutup kedai dan gagal melunasi hutang.

Mereka menyerahkan barang-barang yang ada di kedai makan mereka kepada Encik Buyamin sebagai timbal balas bagi melunaskan hutang mereka walaupun hakikatnya barang-barang itu tidak bernilai pun.

Gambar: Natipah Abu

Di saat baru hendak bangkit ini jugalah, tiba-tiba Encik Buyamin diuji sekali lagi bila van yang digunakan untuk ke hulu-ke hilir mencari rezeki itu terbakar ketika dia dalam perjalanan menghantar ais kepada pelanggannya.

Tidak berputus asa, beliau menggunakan kereta buruknya untuk berniaga ais walaupun kereta itu tidak boleh mengisi banyak beg ais. Tetapi daripada berpeluk tubuh dan berputih mata, dia meneruskan juga walau untungnya hanya sekupang dua.

Ramadhan Al Mubarak .. perniagaan menjual ais batunya terhenti lagi. Satu-satunya mata pencarian yang dia tahu masih terbuka luas peluangannya ialah berniaga air balang semula .

Tetapi mustahil sekali kerana van yang terbakar itu sudah tidak boleh digunakan lagi. Dia tidak punya kewangan yang cukup untuk membaikinya.

Gambar: Natipah Abu

Masakan dia hendak berpeluk tubuh dan mengharapkan wang bantuan Elaun Pekerja Cacat dari JKM semata-mata sedangkan ada 5 mulut yang perlu disuapnya.

Mujurlah dia tidak perlu menanggung kos sewa rumah kerana tinggal di rumah pusaka orang tuanya.

Semoga Sedekah Jumaat kita hari ini dapat mencukupkan anggaran jumlah kos yang diperlukan untuk memperbaiki semula van tersebut dan dapatlah beliau mencari rezeki buat keluarganya.

Jumaat di bulan Ramadan yang penuh barakah ini, semoga Allah menganjari segala amal jariah kita dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan akhirat.

Jazakumullahu khair kepada semua penyumbang di luar sana. Langit Ramadan yang barakah …

“Puasa adalah untukku, dan Aku sendiri yang akan memberikan balasannya…” (HR. Bukhari dan Muslim).

Jom bantu Encik Buyamin

Tidak rugi sekiranya kita ‘berani’ melepaskan sesuatu yang kita paling sayang demi membantu orang lain. Malah pemberian itu boleh dianggap memberi yang penuh harga diri.

Jadi marilah bersama-sama kita hidupkan Ramadan tahun ini dengan memperbanyakkan sedekah. Kebetulan, Encik Buyamin kini benar-benar dalam kesusahan dan perlukan kita semua.

Sekiranya anda sudi untuk menabur jasa buat si ayah yang cekal ini, sumbanglah seberapa cuma wang ringgit yang ada untuk Encik Buyamin menggunakan semula vannya itu.

Sumbangan Sedekah Jumaat ini boleh disalurkan kepada akaun Natipah Abu 552107617521 (Maybank). Semoga Encik Buyamin dan kita semua dimurahkan rezeki olehNya. Amiin.

Sumber: Natipah Abu