Siakap Keli
Kredit: Bernama

“Nampak Asap Dari Kawasan Semak”, Mayat Dengan Kesan Terbakar Seluruh Badan Ditemui Di Tepi Jalan

KUALA NERUS, 17 April (Bernama) — Satu mayat tanpa identiti dengan kesan terbakar keseluruhan badan ditemui di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat itu pada pukul 8.15 pagi tadi.

Beliau berkata mayat itu ditemukan kira-kira tiga meter di bawah satu cerun dalam keadaan tertiarap, dengan kesan terbakar keseluruhan badan kecuali pada bahagian betis kanan, dan siasatan sedang dijalankan oleh pasukan forensik polis dan Unit Anjing Pengesan (K9).

“Tiada dokumen pengenalan ditemui, dan setakat ini kita belum mengetahui identiti atau jantina mangsa. Berdasarkan siasatan awal kita percaya mangsa meninggal dunia di tempat lain dan dibawa ke sini sebelum dibakar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Katanya mayat itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang pekerja kebersihan Mohd Hamdan Abd manaf, 23, berkata beliau menemui mayat itu kira-kira pukul 7.15 pagi ketika sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan berhampiran kawasan berkenaan.

“Waktu sedang bekerja saya nampak asap dari kawasan semak di tepi jalan, saya ingatkan ada orang bakar sampah… bila saya pergi tengok saya tidak pasti, sama ada itu patung atau mayat.

“Saya pun tanya seorang lelaki yang kebetulan lalu di kawasan itu untuk mendapatkan kepastian dan dia katakan bahawa itu adalah mayat. Lelaki itu terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk membuat laporan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.