Siakap Keli
Gambar via Google

Nampak Objek Seakan Wajah Manusia, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Fenomena Pareidolia

Setiap hari, kita nampak pelbagai objek di sekeliling dengan pelbagai bentuk dan rupa. Kadangkala objek tersebut menampakkan ciri-ciri objek lain seperti awan berbentuk haiwan, atau susunan bintang yang membentuk imej sesuatu.

Namun, tahukah anda bahawa semua itu sebenarnya satu fenomena yang mungkin ramai belum tahu? Jadi, mari ikuti penjelasan Hello Doktor mengenai perkara ini.

Pernahkah anda nampak muka atau wajah manusia pada objek di sekeliling anda? Sebagai contoh, kita semua pasti pernah nampak gumpalan awan berbentuk wajah manusia atau batang pokok yang seakan-akan mempunyai mata.

Ramai juga yang rasa terhibur dengan fenomena ini. Untuk pengetahuan anda, semua manusia pernah melihat wajah atau muka pada objek di sekeliling mereka.

Malah, kebolehan untuk melihat wajah pada objek di sekeliling merupakan salah satu ciri survival yang penting untuk nenek moyang kita jutaan tahun dahulu.

Penemuan buruj misalnya, semuanya berkait rapat dengan kebolehan nenek moyang kita untuk mengenal pasti wajah di dalam objek-objek yang tidak hidup.

Fenomena yang turut dikenali dengan nama pareidolia ini amat lazim berlaku dan sering dikaitkan dengan ilusi optik.

Walau bagaimanapun, saintis kini percaya pareidolia bukanlah ilusi optik semata-mata dan mungkin merupakan kunci survival kita hingga ke hari ini.

Wajah manusia pada objek biasa

Gambar via Google

Sebenarnya, otak manusia sudah diprogramkan untuk mengenal pasti wajah manusia.

Sejurus selepas dilahirkan, kita akan mencari wajah di sekeliling kita untuk mengenal pasti sama ada ia milik kawan ataupun lawan.

Malah, pareidolia juga boleh menyelamatkan nyawa!

Kemampuan untuk mengenal pasti wajah yang tersembunyi di sebalik objek biasa juga boleh menentukan sama ada kita akan hidup atau mati.

Cuba bayangkan apa yang akan terjadi jika kita gagal untuk membezakan muka harimau di dalam semak? Sebab itulah kebolehan ini amat penting dalam memastikan kelangsungan hidup.

Tambah lagi, menurut Kang Lee, seorang profesor dari University of Toronto melalui TED Talk beliau, katanya, kita sudah mula mencari wajah sejak dari lahir lagi.

Malah, mereka juga mendapati bayi lebih suka memandang objek yang mempunyai wajah manusia berbanding objek biasa.

Saintis menguji teori ini dengan menunjukkan dua imej yang berbeza kepada bayi – satu dengan wajah manusia dan satu lagi imej biasa.

Walaupun bayi mempunyai penglihatan yang teruk, namun mereka gemar melihat wajah manusia. Tetapi, mengapa?

Menurut Ahli Astronomi, Carl Sagan, jutaan tahun dahulu kebolehan ini amat penting untuk memastikan bayi terus hidup dan dijaga oleh kedua ibu bapa mereka.

Manusia merupakan makhluk sosial. Jika bayi tidak dapat mengenal pasti wajah dan tidak boleh berbalas senyuman, besar kemungkinan hubungan antara ibu bapa dan anak tersebut akan menjadi renggang.

Siapa yang lebih terdedah kepada pareidolia?

Gambar via Google

Menurut kajian yang dilakukan oleh Riekki, et al. pada tahun 2013, individu yang mempunyai pegangan agama yang lebih kuat atau percaya dengan perkara-perkara supernatural lebih terdedah kepada pareidolia.

Malah, menurut laporan oleh Moheb Costandi, seorang saintis neuro yang menulis untuk Brain Decoder, individu yang neurotik juga lebih kerap melihat wajah manusia pada objek sekeliling.

Disebabkan mereka kerap rasa berdebar dan tidak stabil dari segi emosi, mereka lebih berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling.

Ini bermaksud, mereka lebih berkemungkinan untuk melihat ‘bahaya’ walaupun sedang berada dalam keadaan yang selamat.

Sebab itulah mereka yang neurotik lebih berkemungkinan untuk melihat wajah pada objek-objek di sekeliling mereka.

Selain itu, wanita juga dikatakan mengalami pareidolia lebih kerap berbanding lelaki. Perkara ini berlaku disebabkan kemampuan kaum Hawa untuk mengenal pasti emosi menerusi raut wajah manusia.

Walau bagaimanapun, tidak kisahlah anda lelaki atau wanita, pareidolia merupakan satu fenomena biasa.

Jangan biarkan pareidolia mengganggu anda kerana ia hanyalah sebahagian daripada naluri manusia. Malah, fenomena ini juga jarang berlaku disebabkan oleh faktor-faktor paranormal.

Tiada diskriminasi antara kaum

Gambar via Google

Lee juga telah melakukan kajian untuk menentukan sama ada bayi dapat membezakan wajah pada warna kulit yang berbeza.

Menurut beliau, pada awal kelahiran, bayi boleh melihat wajah pada semua orang, tidak kiralah apa pun warna kulit mereka.

Walau bagaimanapun, setelah mereka mencapai usia 9 bulan, mereka hanya mampu mengenal pasti wajah daripada bangsa yang sama sahaja iaitu bangsa ibu dan bapa mereka.

Lee berpendapat bahawa perkara yang membuatkan seorang kanak-kanak itu mempunyai sifat diskriminasi antara kaum adalah disebabkan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Tambahnya lagi, bayi yang hidup di dalam sebuah komuniti yang berbilang bangsa juga tidak akan mempunyai sifat diskriminasi yang kuat dan mampu bertoleransi dengan baik antara satu sama lain.

Nampak muka manusia? Mungkin pareidolia!

Gambar via Google

Malah, ramai juga yang telah berjaya mengaut keuntungan ribuan ringgit daripada fenomena ini.

Pada tahun 2014, roti sandwich yang berusia 10 tahun telah berjaya dijual di eBay dengan harga $28,000 (RM113,268) disebabkan gambar Virgin Mary yang dikatakan berada di atas permukaan roti tersebut.

Selain itu, ramai juga yang mengatakan dapat melihat banyak ‘wajah manusia’ pada kepulan asap bom atom yang menutupi Nagasaki pada tahun 1945.

Gambar yang ditangkap oleh Hiromichi Matsuda ini telah menarik minat ramai orang. Malah, netizen juga mendakwa dapat melihat wajah wanita yang sedang tidur di antara kepulan asap di dalam gambar tersebut.

Pareidolia merupakan satu fenomena yang amat menarik. Kemampuan otak kita untuk membezakan wajah walaupun daripada objek yang tidak hidup masih lagi dikaji oleh saintis hingga ke hari ini.

Dapatan yang mereka boleh terima daripada kajian-kajian ini dapat membantu pakar untuk memahami individu yang menderita dengan kondisi seperti autisme yang membuatkan mereka tidak dapat mengenal pasti dan mentafsir emosi di sebalik wajah manusia.

Sumber: Hello Doktor