Siakap Keli

TERKINI SOP: Hanya Rentas Negeri Untuk Bekerja, Hal Kecemasan, Kematian Keluarga, Rawatan, Pendidikan & Pasangan Jarak Jauh Sahaja Dibenarkan- Polis

KUALA LUMPUR, 19 April – Pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian (ibu, bapa, anak & adik-beradik), perubatan, pendidikan serta pasangan jarak jauh (PJJ) adalah dibenarkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bagaimanapun berkata, kebenaran itu hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja jika permohonan pergerakan tersebut diluluskan.

“Manakala pergerakan pada hujung minggu iaitu hari Jumaat hingga Ahad tidak akan diluluskan. Ini tidak termasuk bagi urusan-urusan melibatkan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

“(Selain itu) pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis atau jamuan adalah dilarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, penguatkuasaan tersebut akan diteruskan sehingga selepas hari raya Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, semua ketua polis daerah dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi isu ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan serta pasar akan digerakkan ke semua lokasi berkenaan.

“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan agar aktiviti perniagaan di kawasan-kawasan tersebut dihentikan,” tambahnya lagi.

Sumber: FB PDRM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'