Siakap Keli

TERKINI: Spurs Umum Pecat Jose Mourinho Dari Jawatan Jurulatih Kelab

Kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Spurs yang kini berada di kedudukan ke-7 liga dilapor mengambil keputusan untuk memecat pengendali kelab, Jose Mourinho.

Menurut laporan Mirror UK, keputusan drastik ini dibuat selepas kelab bimbingan pengendali asal Portugal itu seri 2-2 ketika berdepan Everton baru-baru ini.

Untuk rekod, beliau dilantik ke jawatan berkenaan pada November 2019, sehari selepas Spurs memecat pengendali sebelumnya, Mauricio Pochettino, yang kini bersama gergasi Perancis, PSG.

Musim lepas, beliau berjaya membimbing Spurs untuk menamatkan musim di tangga keenam, bagaimanapun gaya permainan yang dibawanya sering mendapat kritikan daripada peminat.

Malangnya, pada musim ini, Spurs dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi yang berbisa, khususnya  dalam pusingan kedua EPL selain turut disingkirkan daripada saingan Europa League selepas tewas 2-3 kepada Dinamo Zagreb dalam pusingan 16.

Bagaimanapun, beliau berjaya membawa kelab tersebut ke final Carabao Cup yang dijadualkan minggu depan menentang pendahulu EPL, Man. City. Jika menang, ia merupakan trofi pertama kelab selepas 13 tahun.

Di Twitter, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa beliau dipecat kerana menentang keputusan kelab menyertai European Super League yang menjadi isu panas ketika ini. Spurs merupakan salah satu daripada 12 kelab pengasas kepada pertandingan baru bola sepak Eropah itu.

Namun, kesahihan dakwaan yang tular di media sosial itu tidak dapat dipastikan.

Sumber: Mirror UK

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.