Siakap Keli

UEFA Sahkan Pemain-pemain 12 Kelab Sertai Super League Akan Diharamkan Dari Menyertai Piala Eropah & Piala Dunia

Sedang hangat ketika ini mengenai tindakan 12 buah kelab bola gergasi daripada beberapa liga ternama Eropah yang berganding bahu dan membentuk satu kejohanan baru yang dikenali sebagai European Super League (ESL).

Di media sosial ketika ini, rata-rata peminat bola sepak dunia mengecam dan megutuk habis-habisan tindakan yang didakwa mementingkan diri selain menjual jiwa bola sepak yang dibuat oleh 12 pasukan tersebut.

Terbaru, melalui laporan Goal, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyifatkan tindakan tersebut sebagai ”meludah di muka bola sepak”.

Selain itu, beliau turut memaklumkan beberapa tindakan awal yang akan dibuat oleh pihaknya sebagai pentadbir sukan bola sepak di peringkat Eropah.

”Para pemain daripada 12 buah kelab ini akan diharamkan daripada menyertai kejohanan Piala Dunia dan Piala Eropah.

”Kami akan melaksanakan semua sekatan yang kami boleh lakukan,” katanya.

Jika ESL menjadi kenyataan dan peraturan ini dikuatkuasakan, kelibat beberapa nama besar dunia bola sepak seperti Cristiano Ronaldo, Antoine Griezmann, Sergio Ramos, Harry Kane, Kevin De Bruyne dan ramai lagi mungkin tidak akan kelihatan di pentas Piala Dunia dan Piala Eropah akan datang.

Mengimbas kembali isu ini, terdahulu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan secara bersama, 12 kelab tersebut iaitu Liverpool, Manchester City, Manchester United, Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Chelsea (EPL), Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid (La Liga), Juventus, AC Milan dan Inter Milan (Serie A) mengumumkan penyertaan dalam ESL sebagai ‘founding club’.

Selain itu, dilaporkan terdapat beberapa buah kelab lain bakal mengumumkan penyertaan dalam kejohanan tersebut.

Ia mendapat bantahan ramai kerana ESL didakwa diwujudkan bagi menggantikan saingan UCL. Dengan penyertaan kelab-kelab gergasi tersebut dalam ESL, saingan UCL mungkin akan kehilangan seri sekaligus memberi impak kepada kelab-kelab kerdil yang turut bersaing dalam saingan tersebut, khususnya dari sudut ekonomi kelab, hak penyiaran dan penajaan.

Seperti yang diketahui, kelab-kelab seperti Liverpool, Man United, Real Madrid, Barcelona, Chelsea, Arsenal dan Juventus mempunyai ratusan juta peminat di seluruh dunia jika digabungkan. Pengunduran kelab-kelab ini dari UCL juga bakal menyaksikan ratusan juta peminat yang mengikuti saingan UCL mungkin beralih arah kepada saingan ESL.

Namun setakat ini, jika diperhatikan kepada perkongsian di media sosial, majoriti peminat kepada kelab-kelab tersebut turut kecewa dan menentang keputusan yang dibuat kelab.

Apa pun, ia sesuatu yang menarik untuk diperhatikan apakah yang bakal terjadi di penghujungnya, adakah ESL akan dibatalkan ataupun dengan kuasa publisiti dimiliki 12 buah kelab ini termasuk para pemainnya, mungkin UEFA pula yang terpaksa tunduk dan berunding untuk kebaikan bersama.

Sumber: Goal

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.