Siakap Keli

(Video) ‘Save Ralph’ Trending Di Twitter, Kisah Ngeri Arnab Dijadikan Bahan Ujikaji Produk Kosmetik

Dalam dunia moden hari ini, macam-macam perkara boleh berlaku. Sama ada dirancang untuk kebaikan, ataupun sebaliknya. Mungkin ada yang sudah tahu bahawa dunia pembuatan barangan kosmetik ini ada dua sisi yang berbeza.

Sebagai pengguna tegar, kita mungkin berasa kosmetik ‘sekian-sekian’ sangat berbaloi untuk kecantikan kita. Tapi jauh di sudut lain, hakikatnya dipercayai bukan semua pembuatannya benar-benar ‘bersih’ dan selamat.

Baru-baru ini, warga maya dikejutkan dengan ‘kemunculan’ seekor arnab putih yang bernama ‘Ralph’ melalui sebuah video berdurasi 3 minit 53 saat di Youtube. Dalam video itu, Ralph sibuk ‘berceloteh’ tentang sesuatu.

Sepanjang ‘penampilannya’ di layar skrin, ada sesuatu yang tidak kena pada badannya. Perasan atau tidak, mata belah kanannya kelihatan seperti buta dan cedera. Persoalannya, siapakah Ralph? Apa yang berlaku sebenarnya?

Kempen ‘Save Ralph’, kesedaran kezaliman kosmetik terhadap haiwan

Untuk pengetahuan anda, video yang tular dan mendapat perhatian netizen ini sebenarnya merupakan sebuah filem pendek (short film) bermotifkan kesedaran awam berkenaan haiwan yang menjadi bahan ujikaji produk kosmetik.

Bercirikan public service announcement (PSA), video berjudul ‘Save Ralph’ itu dibangunkan oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat iaitu Humane Society International.

Filem pendek itu dicipta hasil kolaborasi beberapa ‘jagoan’ layar perak seperti Taika Waititi, Ricky Gervais, Zac Efron, Olivia Munn, Pom Klementieff, Rodrigo Santoro, Tricia Helfer dan ramai lagi.

Ralph merupakan watak utama dalam video berkenaan. Walaupun hanya kurang empat minit, Save Ralph dicipta sebagai satu kempen kesedaran global bagi menentang tindakan berlaku zalim ke atas haiwan yang dijadikan sebagai ‘tester’ produk.

Sepanjang beraksi di hadapan ‘kamera’, Ralph banyak menceritakan tentang realiti yang dihadapi oleh kebanyakan haiwan termasuk arnab sendiri – iaitu ‘ditugaskan’ menjadi bahan ujikaji produk.

Ralph sendiri menceritakan bahawa dirinya, ayahnya, ibunya dan semua ahli keluarganya juga merupakan ‘tester’ bahan kosmetik. Ianya bukan sesuatu yang indah lagi apabila mereka semua terpaksa merasai perit dicucuk, digantung dan disuntik.

Dalam video ini juga, terdapat babak di mana Ralph ditempatkan di sebuah makmal. Ingatkan hanya dia seekor sahaja, rupa-rupanya ramai lagi ‘rakan seperjuangannya’ turut serta berada di situ menunggu nasib.

Klimaks filem agak mengerikan apabila Ralph menyerah diri membiarkan pihak makmal menyuntik mata kirinya sehingga penglihatannya rosak serta-merta. Namun walaupun sakit, Ralph tetap ‘tenang’ bercerita.

Walapun kelihatan zalim, bagaimanapun pengarahnya, Spencer Susser menjelaskan, ianya sangat penting bahawa masyarakat boleh melihat sendiri realiti yang dihadapi haiwan seperti Ralph.

“Ianya penting bahawa Ralph merasai hal sebenar, kerana dia sedang menceritakan tentang betapa banyaknya haiwan yang menjadi bahan ujikaji pada setiap hari,” katanya.

Filem pendek ini menerima pelbagai maklum balas daripada kalangan netizen, rata-rata baru ‘terbuka mata’ tentang apa yang berlaku sebenarnya di sebalik tabir pembuatan kosmetik.

Biarpun baru sahaja dimuat naik ke Youtube beberapa hari lalu, Save Ralph telah ditonton lebih 4.5 juta kali setakat ini. Adakah anda percaya dengan cerita Ralph? Tepuk kepala, tanyalah akal.

Anda boleh tonton video penuh Save The Ralph di bawah ini.

Sumber: Youtube / Humane Society International 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'