Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat tiga pusat beli-belah Suria KLCC dalam kejadian yang berlaku sebentar tadi, lapor Astro Awani.
Memetik laporan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 1.52 petang tadi.
”Pihak polis Dang Wangi terima panggilan jam 1.52 petang, memaklumkan seorang lelaki telah terjun dari tingkat tiga di Suria KLCC. Siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi Astro Awani.
Insiden berkenaan turut menjadi tular di media sosial Twitter dan Facebook di mana beberapa keping gambar menunjukkan keadaan mangsa yang terjatuh dari tingkat tiga.
Mangsa dilaporkan mati di tempat kejadian dan kes masih berada dalam siasatan.
Sumber: Astro Awani